PAS Kawasan Kuala Kedah menyatakan sokongan mereka terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengekalkan jawatannya sebagai presiden parti itu.

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-41 PAS Kawasan Kuala Kedah semalam, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dicalonkan jawatan Timbalan Presiden.

Salahudin Ayub, Datuk Mahfuz Omar dan Idris Ahmad pula dicalonkan untuk jawatan Naib Presiden.

Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang juga bekas Yang Dipertua PAS Kuala Kedah berkata, Abdul Hadi dilihat sebagai pemimpin yang popular.

"Kelebihan utama Hadi ialah beliau adalah penyandang sekarang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mesyuarat itu turut menyaksikan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Amirudin Hamzah dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah yang baharu, menggantikan Datuk Phahrolrazi Zawawi.

Phahrolrazi, memutuskan tidak bertanding bagi memberi fokus kepada PasMa, selain memberi peluang kepada kepimpinan baharu.