Pas nafi dakwaan tidak sokong UMNO dalam PRK Semenyih

Pas nafi dakwaan tidak sokong UMNO dalam PRK Semenyih
Datuk Takiyuddin Hassan berkata Pas akan tetap menyokong UMNO namun, tahap komitmen serta kadar penglibatan parti itu berbeza keadaannya pada PRK Parlimen Cameron Highlands lalu. - Gambar fail
MARANG: Pas menafikan dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad yang parti itu tidak akan menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata Pas akan tetap menyokong UMNO namun, tahap komitmen serta kadar penglibatan parti itu berbeza keadaannya pada PRK Parlimen Cameron Highlands lalu.

Menurut Takiyuddin, ia selaras dengan pendirian konsisten Pas yang meletakkan kepentingan Islam dan Melayu mengatasi yang lain di samping mengekalkan hubungan dengan UMNO atas dasar perpaduan ummah dan solidariti pembangkang.
“Tidak ada apa-apa perakuan bertulis berkaitan pilihan raya kecil Semenyih, hanya dibincangkan secara lisan sahaja antara YB Tun dan YB Presiden Pas.

‘Tidak ada kita menyatakan kita tidak menyertai dan tahap penyertaan kita di dalam PRK Semenyih berbeza dengan tahap penyertaan serta komitmen kita dalam PRK Cameron Highlands,” katanya.

BACA: Pas akan sokong Tun M jika berlaku pengkhianatan dalam PH - Takiyuddin

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu disertai ahli jawatankuasanya termasuk Naib Presiden, Idris Ahmad Dan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah; Ketua Dewan Ulamak Pas Dan Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Katanya, pendirian Pas itu telah dimaklumkan kepada kepimpinan UMNO dan ia diterima baik oleh parti berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh kelewatan presiden membuka mulut berhubung isu berkenaan adalah bagi membolehkan perkara berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat harian hari ini bersama jawatankuasa, dan ia dianggap selesai dengan keputusan yang buat.



Tag: Pas, Pakatan Harapan, PH, Mahathir Mohamad, UMNO, Pilihan Raya Kecil, Semenyih, PRK, Takiyuddin Hassan


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.