Pas perlu segera menyatakan pendiriannya sama ada ingin kekal bersama Pakatan Harapan atau bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sekaligus membentuk pakatan baharu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata kegagalan parti itu menyatakan pendirian mereka boleh menyebabkan pengundi hilang keyakinan terhadap Pakatan Harapan.

Tambahnya, tindakan Pas yang mahu memutuskan hubungan dengan PKR di Pulau Pinang baru-baru ini jelas menunjukkan parti itu seolah-olah mahu bekerjasama dengan UMNO dan BN.

Malah Guan Eng berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan berlaku satu pakatan baharu iaitu BN+1 dalam PRU14 kelak.

“Saya rasa apabila mereka bersama UMNO, mereka akan berpisah dengan PKR. Itu kemungkinan yang kita jangka akan berlaku, dan sekiranya Pas berlengah dalam membuat keputusan, ia akan menjejaskan keyakinan dalam kalangan pengundi.

"Pengundi akan tertanya-tanya di manakah pendirian Pas dan memang tidak masuk akal kerana Pas perlu memberi hala tuju yang jelas. Sejak Pas akan bekerjasama dengan UMNO, biarkanlah mereka dengan BN, dan bentuk BN + 1 dan kita perlu memperkasa Pakatan Harapan untuk menewaskan pakatan BN itu nanti.

Setiausaha Agung DAP itu turut berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Pas kawasan Bayan Baru yang mengusulkan mahu memutuskan hubungan kerjasama dengan PKR di kawasan tersebut.

Turut berpendiran sama, Pas Permatang Pauh menyuarakan hasrat untuk memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR selepas mendakwa parti itu tidak menghormati kerjasama yang terjalin antara mereka.

Guan Eng berkata, rundingan kerjasama Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkemungkinan tidak akan berlaku .

Ujarnya, ia sangat jelas Pas tidak mahu bekerjasama dengan PPBM selepas parti itu sah menyertai Pakatan Harapan.

“Mereka berkata tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dan masih berbincang dengan PKR Bayan Baru dan Permatang Pauh namun pendirian di Selangor jelas, tidak akan bekerjasama dengan PKR dan DAP,” kata Guan Eng dalam satu sidang media di pejabatnya di Menara Komtar di sini, hari ini.

“Masa akan menjadi penentuan bila parti tersebut akan mengabaikan PKR untuk bekerjasama dengan BN. Saya merasakan kesemua yang berada di dalam pakatan sepatutnya patuh pada yang satu … jika kita hendak menewaskan UMNO dan BN, kita perlu bekerjasama.