Calon PAS, Ahmad Fathan Mahmood telah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Chempaka dengan jumlah undi sebanyak 10,899 dan majoriti 10,092.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pegawai Pengurus PRK Chempaka, Ibrahim Bakri Mat Deris, kira-kira jam 9 malam tadi.

Calon berusia 42 tahun itu merupakan calon tunggal daripada sebuah parti politik sementara empat lagi calon yang bertanding adalah dari parti bebas.


Mereka ialah bekas Naib Presiden Perkasa Kelantan Sharif Mahmood, 59, yang memperoleh 807 undi; Presiden Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Fadzillah Hussin, 55, (89 undi); bekas pensyarah Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48, (51 undi) dan usahawan Aslah Mamat, 64, (27 undi).

PAS, Chempaka
Calon PAS, Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad (dua kanan) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka selepas keputusan rasmi itu diumumkan di Dewan Bitara Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa malam ini.
-- fotoBERNAMA
PRK Chempaka hari ini menyaksikan peratusan yang keluar mengundi adalah sebanyak 55 peratus - 11,971 daripada 21,890 pengundi berdaftar di DUN berkenaan.

Proses pengiraan undi dijalankan di Dewan Bitara, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Pengkalan Chepa.

Sebanyak sembilan pusat pembuangan undi telah dibuka sejak jam 8 pagi hingga jam 5 petang iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gajah, SK Sabak, SK Parang Putting, SK Kem, SK Che Deris, SK Seri Chempaka, SMK Badang, SMK Pengkalan Chepa dan Sekolah Menengah Agama Tengku Amalin A'ishah Putri Chempaka.

Ahmad Fathan dan isterinya, Azizah Hanim Mohd Daud, telah membuang undi di pusat pengundian SMK Pengkalan Chepa pada jam 8.10 pagi. Kesemua calon bebas bukan pengundi di DUN tersebut.

Proses pengundian awal untuk PRK Chempaka telah dijalankan pada 19 Mac lalu untuk 1,497 anggota tentera dan pasangan mereka. Peratusan yang keluar mengundi adalah 35.4 peratus iaitu 530 pengundi.

Laporan sebelum ini menyatakan bahawa proses pengiraan undi telah berlangsung dengan lancar.