Tutup

Pas saran DAP letak jawatan dalam Kabinet

Pas saran DAP letak jawatan dalam Kabinet
DAP, kata Tuan Ibrahim, hanya mementingkan kepentingan parti dan tidak mahu mengangkat semangat tanggungjawab kolektif dalam Kabinet. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Semua wakil DAP di dalam Kabinet disaran meletakkan jawatan susulan percanggahan dua isu yang disuarakan mereka dengan pendirian kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dua isu itu ialah ekstradisi pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik dan isu pelaksanaan jawi dalam subjek Bahasa Malaysia tahun empat di sekolah vernakular.

"DAP hanya mementingkan kepentingan parti dan tidak mahu mengangkat semangat tanggungjawab kolektif dalam Kabinet.

"Isu ekstradisi Dr Zakir telah dijelas dan dijawab dengan baik oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Namun, ia tetap ditekan oleh DAP.
"Begitu juga dengan isu pelaksanaan tulisan khat. Walaupun telah dimuktamadkan oleh perdana menteri, namun masih wujud penentangan keras dari DAP," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Sebelum ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam blognya bersetuju dengan saranan penulis Anas Zubedy agar Dr Zakir meninggalkan Malaysia secara sukarela.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dilaporkan berkata, Dr Zakir perlu meninggalkan negara ini secara sukarela kerana kehadirannya di negara ini boleh mencetuskan ketidakstabilan selain mencetuskan ketidakharmonian dalam keluarga besar Malaysia.

Sementara dalam isu tulisan jawi, baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengumumkan penggunaan tulisan berkenaan dalam buku teks di semua sekolah dalam negara termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.
Pengumuman itu mendapat bantahan ramai pihak termasuk 138 pemimpin akar umbi dan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri DAP.

Dalam pada itu, tegas Tuan Ibrahim, situasi itu menunjukkan ketidakserasian dalam kalangan komponen PH terhadap dasar-dasar kerajaan.

Jelasnya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga tidak boleh membiarkan kemelut itu berpanjangan kerana akan mengganggu perjalanan pentadbiran kerajaan sendiri.

"Saya juga telah menegaskan sebelum ini bahawa banyak agenda kerajaan akan disabotaj oleh komponen PH sendiri kerana tiada tanggungjawab kolektif dalam kalangan mereka.

"Perkara ini akan mempengaruhi sentimen dan keyakinan pihak luar terhadap negara.

"Negara perlukan kabinet yang lebih kuat, bersatu hati dan lebih kukuh untuk melonjakkan Malaysia ke arah yang lebih baik," katanya.

Tag: Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang, PAS, DAP, Pakatan Harapan, KDN, Jawi, Parlimen, kabinet, Kementerian Dalam Negeri


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.