Pas membuka pintu untuk bergabung dengan mana-mana parti yang sedia memartabatkan Islam dan melaksanakan keadilan untuk rakyat secara keseluruhan.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas berpegang teguh kepada prinsip perjuangan dengan mengutamakan kerjasama yang mendatangkan manfaat kepada agama dan negara.

Menurutnya, Pas optimis mampu memenangi 40 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekali gus memperbaiki pencapaian pada PRU lalu.

“Kita berharap Pas akan menjadi ‘kingmaker’, dihubungi semua pihak yang tubuh kerajaan. Itu minima yang kita nak usahakan daripada 160 kerusi.

“Itulah penyelesaian masalah dengan Islam, kerana Islam adalah untuk semua, adil untuk semua yang boleh diterima oleh semua pihak.

“Mana-mana pihak yang terima syarat-syarat yang kita tetapkan itu boleh berbincang dengan kami dan kita boleh bekerjasama,” katanya pada satu majlis di Kampung Rawai, Marang, malam tadi.

Pada pilihan raya lalu, Pas memenangi 21 kerusi Parlimen dengan menyertai Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP dan PKR.

Manakala pada PRU14, Pas membentuk Gagasan Sejathera yang disertai badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa parti politik.