PAS menyelaraskan lafaz baiah terhadap semua calonnya yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini termasuk mengenai lafaz taklik cerai talak tiga, kata Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim berkata Majlis Syura memutuskan tidak ada perbezaan baiah di antara semua negeri termasuk Kelantan yang membuat tambahan lafaz taklik cerai talak tiga sebagaimana yang dilaksanakan pada PRU13.

"Manakala bagi parti komponen dalam Gagasan Sejahtera dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) pula, mereka akan menandatangani surat aku janji untuk patuh dan setia pada pilihan rakyat, tidak khianat dan istiqamah dengan perjuangan parti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Pra Pengisytiharan Calon di perkarangan Pasar Wakaf Bharu di sini, Rabu malam.

Katanya majlis melafaz baiah dan menandatangani akur janji itu akan diadakan sehari sebelum hari penamaan calon pada 28 April ini.

"Biasanya calon yang sudah disahkan bertanding akan dikumpulkan bersama (di setiap negeri) sebelum taklimat presiden dibacakan. Kemudian kita bagi watikah bersama dengan baiah sebelum ia ditandatangani oleh calon," katanya.

BACA: Kaji selidik INVOKE sekadar kajian atas meja - Pas

Ditanya mengenai antara faktor yang menyebabkan seseorang calon itu digugurkan daripada bertanding pada pilihanraya umum, Tuan Ibrahim berkata ia bukan disebabkan oleh prestasi calon tersebut.

"Tetapi kerana ada yang dah lama berkhidmat, ada yang tarik diri serta nak beri peluang kepada orang baharu untuk berkhidmat," katanya.

Sebelum ini, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelaboran Mohamad Zaki Ibrahim digugurkan daripada senarai calon yang akan bertanding mewakili PAS pada PRU14 selepas tiga penggal berkhidmat di kawasan tersebut.

-- BERNAMA