Pas Terengganu akan bertanding di semua 32 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), umum Pesuruhjaya Pas negeri yang baharu Datuk Husain Awang.

Beliau berkata daripada kesemua kerusi itu, Pas optimis memenangi lebih banyak kerusi berbanding 15 kerusi yang disandangnya di Terengganu ketika ini berikutan sokongan barisan kepimpinan Pas negeri yang baharu selepas rombakan dilakukan Pas Pusat baru-baru ini.

"Kita akan bertanding semua kerusi Parlimen dan DUN negeri. Kita bersedia menghadapi apa jua keadaan dan suasana termasuk pertandingan tiga penjuru," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Husain mengumumkan anggota jawatankuasa baharu Badan Perhubungan Pas Terengganu Sesi 2017-2019 dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka Satiful Bahri Mamat yang sebelum ini Pesurujaya Pas Terengganu kini menyandang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri I manakala ADUN Bukit Tunggal Dr Alias Razak dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri II.

Mengulas mengenai rombakan beberapa barisan kepimpinan Pas negeri oleh Pas Pusat baru-baru ini, Husain menafikan berlakunya perpecahan atau pergolakan dalaman parti seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Saya menafikan perkara itu sebab tiada sebarang krisis, tiada perpecahan dan perebutan jawatan yang berlaku dalam Pas berkaitan rombakan kepimpinan itu," katanya.

Sebaliknya, anggota-anggota jawatankuasa Badan Perhubungan Pas negeri yang baharu akan memantapkan lagi saf kepimpinan Pas negeri di samping meneruskan legasi peimpin terdahulu.

Ditanya sama ada Pas Terengganu telah menyenaraikan calon bagi semua kerusi yang bakal ditandingi pada PRU akan datang, beliau berkata perkara tersebut belum diputuskan.

Husain juga tidak menolak kemungkinan bertanding pada PRU14.

-- BERNAMA