Usul Dewan Ulama PAS yang mahu memutuskan hubungan dengan DAP akan dikaji di peringkat Majlis Syura dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata usul itu tidak akan dibahaskan di Muktamar Tahunan PAS ke-61 yang sedang berlangsung di Stadium Tertutup Kuala Selangor, di sini.

"Ya usul itu diterima sebulat suara oleh Dewan Ulama namun usul tersebut juga diserahkan kepada Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura untuk mengkajinya dan mengambil tindakan.

"Jadi kita terima tanpa bahas usul itu dan Jawatankuasa PAS Pusat akan meneliti asas kepada usul itu," katanya kepada Bernama, hari ini.

Pada Rabu, Dewan Ulama sebulat suara meluluskan usul tergempar memutuskan hubungan dengan DAP, bagaimanapun akan meneruskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dalam pakatan pembangkang.

"Usul itu telah diterima tetapi kandungan usul itu perlu diserah kepada Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura untuk membuat keputusan," katanya.

Krisis PAS dan sekutunya DAP bermula sebelum muktamar tahunan PAS berikutan cadangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud yang mendapat tentangan DAP.

Pemilihan parti semalam menyaksikan golongan yang dilihat pro DAP tewas kepada kumpulan ulama.