PAS tetap akan meneruskan hasrat untuk membentangkan di Dewan Rakyat Rang Undang-Undang Persendirian berkaitan hudud untuk pelaksanaan di Kelantan, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Anggota Parlimen Marang itu berkata, keputusan berkenaan muktamad dan parti itu tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan termasuk dari parti sekutu dalam Pakatan Rakyat, DAP.

"Selaras dengan perbincangan saya dengan Mursyidul Am (Datuk Dr Haron Din), saya tetap akan bentangkan rang undang-undang ini," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Abdul Hadi telahpun mengemukakan pada 18 Mac lalu notis bagi usul tersebut dibentangkan di Dewan Rakyat.

Rang berkenaan iaitu rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 19 Mac.