Pas kini mengesahkan Datuk Mahfuz Omar tidak akan diketengahkan sebagai calon mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sehubungan itu, parti Islam itu juga memberi peringatan kepada Ahli Parlimen Pokok Sena itu supaya keluar daripada parti berikutan tindak- tanduknya yang cenderung menyokong Pakatan Harapan, gabungan parti pembangkang yang dianggap diketuai DAP.

Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, selain Mahfuz, mana-mana pemimpin lain yang secara terbuka menentang Pas turut tidak akan dicalonkan lagi dalam PRU14.

"Bagi kami, orang Pas duduk dalam Pas dengan Gagasan Sejahtera. Kalau mereka nak sokong Pakatan Harapan, mereka sepatutnya keluar Pas, tiada makna duduk dalam Pas," katanya.

Mohd Amar menambah, Pas akan meletakkan calon lain bagi menggantikan Mahfuz di kawasan yang disandangnya pada pilihan raya umum akan datang.

"Dia tak akan bertanding. Tidak akan dicalonkan. Tentulah kita ada calon," katanya kepada pemberita selepas ceramah umum 27 Tahun Membangun Bersama Islam di Kampung Jejawi, Padang Tembak di sini malam tadi.

Pada Sabtu, Mahfuz bersama tiga lagi pemimpin Pas - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah, Adun Kubang Rotan Mohd Nasir Mustapa dan Adun Batu Burok Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi - dilaporkan hadir di Konvensyen Nasional 2017 Parti Amanah Negara di Alor Setar, Kedah.

Dalam masa sama, Mahfuz juga dilaporkan berkata, mana-mana ahli Pas, termasuk dirinya, tidak perlu keluar daripada parti Islam itu bagi menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan.

Sementara itu, ketika ditanya adakah Mahfuz akan dikenakan tindakan berikutan tindakannya yang cenderung terhadap Pakatan Harapan, Mohd Amar menjelaskan, Pas tidak akan bertindak demikian kerana beranggapan kedudukannya terlalu kecil di dalam parti.

"Dia terlalu kecil. Dekat pilihan raya, (tindakan terhadap Mahfuz) hanya buang masa," katanya.