Pas sama sekali tidak terlibat dalam isu cadangan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang dibawa anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal Datuk Seri Ahmad Said ke Dewan Undangan Negeri Terengganu pada Selasa.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menegaskan parti itu mengambil pendirian berkecuali mengenainya.

"Pas tak terlibat. Ini terpulang pada UMNO.

"Mesti ada isu-isu yang munasabah (untuk undi tidak percaya ini) bukan isu hendak merebut jawatan," katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dalam reaksinya berkata tindakan oleh Ahmad itu menunjukkan situasi yang tidak stabil dalam UMNO Terengganu khususnya dengan kelebihannya hanyalah dengan dua kerusi.

Katanya keadaan menjadi lebih tidak stabil apabila usul itu dibawa oleh orang yang dianggapnya amat kanan dalam parti UMNO.

"Tetapi tidak mustahil Ahmad Said dan penyokongnya mengambil tindakan yang lain. Kerana kita mesti ingat, apabila beliau beliau dipecat sebagai MB, beberapa orang keluar telah keluar UMNO bersama beliau dan dengan pujukan dari pucuk pimpinan, beliau telah masuk semula.

"Perkara ini tidak mustahil dengan pergolakan nasional hari ini di mana ada gerakan yang diketuai oleh Tun Mahathir dan sebagainya segala-galanya ada kemungkinan berlaku.

"Kita tidak boleh menolak apa jua kemungkinan," katanya kepada Astro AWANI.

Raja Kamarul berkata ada juga kemungkinan Ahmad akan keluar parti.

"Tidak semestinya dia masuk parti lain. Mungkin dia keluar sebagai anggota bebas. Dalam sejarah Terengganu awal tahun 60an pernah berlaku kerajaan bertukar kerana ada pihak yang mengambil tindakan sebelum pilihan raya.

"Ini tidak mustahil. Dan ini berada dalam peraturan dan undang-undang yang dibenarkan," katanya.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh pula berkata Dewan Undangan Negeri Terengganu tahu cara untuk menyelesaikan masalah itu.

"Saya tidak berada di situ semalam. Jadi, saya tidak tahu apa yang berlaku.

"DUN Terengganu tahu apa yang harus dilakukan," katanya ringkas.

Mereka mengulas mengenai cadangan usul dibawa Ahmad Said, yang juga bekas menteri besar Terengganu selama enam tahun bermula 2004, sebelum mengakhiri perbahasannya di DUN itu.

Cadangan itu bagaimanapun ditolak Speaker DUN Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong.

BACA: Usul undi tidak percaya tidak boleh dibuat secara 'serang hendap' - Pandikar Amin

BACA: Cukup-cukuplah layan 'blues' Ahmad Said - Najmil Faiz

VIDEO: Penjelasan Speaker DUN Terengganu

Sementara itu, ketika diminta mengulas pendirian Pas mengenai 'Deklarasi Mahathir', Abdul Hadi berkata parti itu tidak bersetuju dengan tindakan 'gopoh'.

"Saya sebelum ini sudah beri kenyataan bahawa ada perkara yang kita setuju dan ada yang tidak setuju mengenai deklarasi itu. Yang kita setuju adalah perubahan. Yang kita tidak setuju adalah gopoh.

"Kita mahu perubahan secara demokratik sama ada pilihan raya atau undi tidak percaya. Undi tidak percaya mestilah undi di Parlimen, mestilah (melibatkan) orang UMNO sendiri. Kalau UMNO tak ubah dan kita (Pas) saja yang ada 14 kerusi nak buat apa, maka sia-sialah. Mesti ada kemunasabahannya," katanya.


Jelasnya, Pas tidak akan bersetuju dengan perkara-perkara yang tidak mengikut proses demokrasi.

Beberapa anggota UMNO dan pembangkang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lalu menandatangani deklarasi yang antara lain mahu Datuk Seri Najib Tun Razak berundur sebagai perdana menteri.