Parti Islam Se-malaysia (Pas) belum memutuskan sama ada meletakkan calon untuk bertanding bagi kerusi Parlimen yang bakal dikosongkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memberi laluan kepada presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas akan berbincang dengan kepimpinan tertinggi parti sebelum membuat sebarang keputusan.

Menurutnya, pihaknya sentiasa bersiap sedia namun setakat ini masih mengambil pendirian tunggu dan lihat.

"Kita bersiap sedia di mana tempat yang munasabah untuk kita bertanding. Kita kena lihat terlebih dahulu, di mana dia (Anwar) bertanding dan siapa yang munasabah bertanding di situ.

"Kita bukan sahaja bertanding dengan UMNO, kita bertanding dengan sesiapa sahaja. Tetapi kita tunggu dan lihat," katanya selepas majlis pecah tanah pasar raya wakaf bernilai RM12 juta di sini, pada Selasa.

Menurut Abdul Hadi, Pas tidak gentar untuk meletakkan calon bagi menentang Anwar dan sentiasa berlapang dada dalam menerima keputusan rakyat.

Sebelum ini, PKR dikatakan bakal mengosongkan kerusi Parlimen kawasan Pandan namun Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menolak spekulasi berkenaan.

Sebaliknya, katanya keputusan pengosongan kerusi Parlimen yang bakal ditanding Anwar dijangka diumumkan apabila beliau kembali dari Hong Kong pada Rabu.