Pas akan meletakkan calonnya di kerusi parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi mengumumkan perkara berkenaan dalam satu ceramah yang diadakan di Kampung Kubang Semang, Permatang Pauh malam tadi.

Selain kerusi parlimen Permatang Pauh, Pas juga dikatakan akan meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti, Seberang Jaya dan Permatang Pasir.

Kerusi parlimen Permatang Pauh kini wakili oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memenanginya menerusi pilihan raya kecil yang diadakan pada Mei 2015 selepas penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen setelah selepas Mahkamah Persekutuan mendapati Anwar bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tujuh tahun sebelumnya.

Pas bertanding di kerusi parlimen Permatang Pauh sejak 1969 sebelum menyerahkan kerusi tersebut kepada PKR pada pilihan raya tahun 1999, manakala Anwar pula mula mewakili parlimen tersebut sejak 1982 atas tiket UMNO.

Pada 1999, Anwar tidak bertanding namum, isterinya Wan Azizah memenangi kerusi parlimen Permatang Pauh hingga 2008, sebelum mengosongkannya pada 2009 untuk memberi peluang kepada suaminya kembali menjadi ahli parlimen kawasan tersebut.

Sebelum ini, ketika himpunan Fastaqim di Shah Alam, Hadi mengumumkan Pas akan bertanding di 130 kerusi parlimen pada PRU14 dan partinya yakin akan membentuk kerajaan dengan memperolehi majoriti mudah.