Puteri UMNO menggesa semua pihak bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Menurut Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, sayap parti itu menubuhkan sekretariat unit khidmat pilihan raya bagi membantu parti memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, meskipun berlaku pelbagai pertembungan antara harapan, kesetiaan dan penderhakaan, ugut serta sabotaj... Puteri UMNO tetap memilih untuk setia bersama Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kemenangan hanya akan tercapai jika semua orang bekerjasama dan saling bantu-membantu. Sama ada berjawatan atau tidak. Berkedudukan tinggi atau rendah, masing-masing ada kerja atas dasar tanggungjawab," katanya ketika berucap pada majlis penggulungan Ketua Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Bagi tujuan itu, Mas Ermiyati berkata, Puteri UMNO melalui skuad puteri akan menjelajah ke seluruh negeri bagi mendekati rakyat dengan pelbagai program bagi memastikan kebajikan rakyat terbela.

"Skuad Puteri peduli ini akan digembleng macam komando. Pergi ke mana sahaja hatta ke hutan belantara jika perlu untuk memenangi hati rakyat. Kalau kakak perlukan tenaga Puteri peduli boleh bantu sama kesan pengundi. Kalau Pemuda perlukan kami untuk kerja gerak-gempur. Skuad #puteripeduli sedia gempur bersama," katanya.

Beliau pada masa sama menekankan konsep politik kasih sayang yang diterapkan dalam keluarga besar umno demi perpaduan ummah bukan sahaja di dalam parti tetapi buat semua akar umbi.

Mas Ermieyati turut menyeru semua pihak berpadu tenaga, seia sekata, menggempur menghalang percaturan petualang negara daripada mengecapi kemenangan pada PRU-14.