Tutup

PAU2017: Jangan lupa agama, bangsa dan tanah air dalam TN50 - Mas Ermieyati

PAU2017: Jangan lupa agama, bangsa dan tanah air dalam TN50 - Mas Ermieyati
MAS ERMIEYATI: Islam jugalah yang menjadi teras pembentukan dan perpaduan bangsa Melayu. - Gambar AWANI / SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Perjuangan UMNO dalam kepentingan agama, bangsa dan tanah air tidak boleh dipinggirkan dalam aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, fakta agama Islam memainkan peranan dalam pembentukan keperibadian di wilayah ini sejak ratusan tahun lamanya tidak boleh dinafikan lagi.

"Islam jugalah yang menjadi teras pembentukan dan perpaduan bangsa Melayu. Oleh sebab itulah, Islam harus mendapat gambaran yang betul dalam mentaliti Negaraku.

"Dengan itu, TN50 yang ingin kita jelmakan menjelang tahun 2050, tidak akan lari daripada asas perjuangan UMNO yang disebutkan tadi," katanya semasa ucapan dasar Ketua Puteri UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO di sini hari ini.
Katanya lagi, mentaliti Negaraku juga berkait rapat dengan corak pemikiran yang terbuka dan sentiasa menerima idea-idea baru.

"Maksudnya, kita tidak akan sesekali menolak idea-idea bernas tidak kiralah dari manapun datangnya.
"Sikap seperti ini sangat berkait rapat dengan saranan Nabi Muhammad SAW sendiri supaya kita mengutip hikmah biarpun datang dari luar.

"Namun begitu, kita juga harus mempunyai kerangka sendiri agar sikap terbuka kita tidak bersifat semberono. Dalam erti kata lain, kita harus mempunyai bekas kita sendiri sebelum mula menceduk air lazat yang dihidangkan oleh tamadun asing," ujarnya.

Tambahnya, ciri penting seterusnya yang perlu ada dalam mentaliti Negaraku ialah pemikiran yang menghargai asas-asas pembentukan negara seperti konsep ketuanan Melayu dan pengiktirafan terhadap Institusi Raja-raja Melayu.

"Mentaliti Negaraku dalam TN50 sewajarnya akur terhadap peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menerangkan tentang kedudukan Raja-raja Melayu," katanya.

Dalam pada itu tegasnya, Puteri UMNO mahu keupayaan wanita dalam dunia keusahawanan dipertingkatkan dengan usaha berterusan kerajaan.

Jelasnya, usaha yang berbentuk keusahawanan mampu mencungkil bakat-bakat perniagaan yang dimiliki oleh wanita muda pada hari ini.

"Bantuan keusahawanan kepada wanita sebelum ini telahpun dilakukan melalui pelbagai inisiatif seperti melalui MyWin Academy, AIM dan TEKUN.

"Malah, tanggapan bahawa wanita bekerjaya perlu ada di pejabat sudah tidak relevan lagi dalam konteks masyarakat kita yang turut dibentuk oleh perkembangan teknologi maklumat.

"Suri rumah juga boleh menceburkan diri dalam bidang perniagaan melalui inisiatif-inisiatif yang ditawarkan oleh kerajaan dengan syarat mereka didedahkan secara tersusun terhadap aktiviti perniagaan dalam talian (online).

"Pemerkasaan wanita juga sangat bergantung dengan usaha untuk membentuk mereka lebih berdikari. Kata pepatah Cina, berikanlah joran kepada orang yang lapar. Dengan itu, mereka akan memancing ikan untuk diri sendiri apabila mereka kelaparan," katanya.

Kerana itu jelas Mas Ermieyati, Puteri melihat soal inovasi dan kreativiti adalah persediaan penting dalam rutin sehari-hari.

"Bukan sahaja untuk kaum wanita melangsungkan kehidupan sekarang, tetapi sebagai asas untuk berhadapan dengan orientasi kehidupan yang telah pun berubah.

"Kaum wanita muda mesti mengambil peluang untuk memohon dana yang disediakan oleh kerajaan sebagai usahawan untuk memasarkan produk yang dihasilkan.

"Amatlah rugi jika dunia berbicara tentang inovasi, tetapi orang Melayu jauh ketinggalan di belakang," ujarnya.

Oleh sebab itu katanya, Puteri UMNO bersedia menjadi agen penghubung antara agensi kerajaan dan golongan sasaran dalam memastikan usahawan bumiputera bergerak seiring perkembangan terkini.