Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Pelantikan Perdana Menteri interim: Apa langkah seterusnya?

Pelantikan Perdana Menteri interim: Apa langkah seterusnya?
Menurut Abdul Fareed Abdul Gafoor, Perdana Menteri Interim akan dibantu oleh Ketua Setiausaha Negara dalam menjalankan pentadbiran. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tiada sebarang rekod terdahulu yang boleh dirujuk dalam perkembangan terbaharu landskap politik Malaysia yang menyaksikan pelantikan Perdana Menteri Interim.

Dalam kes pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Interim oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah adalah untuk menerajui pentadbiran negara buat sementara waktu.
Sehubungan itu, Perdana Menteri Interim, kata Presiden Majlis Peguam Negara, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor, akan dibantu oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Zuki Ali dalam menjalankan pentadbiran.

Ketua Setiausaha setiap kementerian pula, kata Abdul Fareed, berperanan menjalankan tanggungjawab dalam pentadbiran mengikut polisi yang sedia ada.
“Pelantikan Perdana Menteri Interim adalah tertakluk kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong, jadi tempoh masanya tidak ada dan ia terpulang kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk menentukan tempoh masa pelantikan Dr Mahathir sebagai PM Interim,”  kata beliau ketika diwawancara menerusi telefon dalam program Buletin AWANI Khas pada pagi Selasa.


Mengulas lanjut peranan Perdana Menteri Interim, Abdul Fareed berkata, berdasarkan Perkara 43 Perlembagaan, pelantikan Perdana Menteri tidak tertakluk kepada parti tetapi mengikut Ahli Dewan Rakyat.

“Perdana Menteri dipilih melalui seseorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat mandat ataupun kepercayaan kepada beliau. Ia juga mengikut budi bicara Yang Di-Pertuan Agong,” kata beliau lagi.

Tambah Abdul Fareed, pelantikan seorang Menteri Besar dan Ketua Menteri juga tertakluk kepada sokongan bilangan Ahli Dewan kepada seorang individu untuk menggalas jawatan tersebut dan ia tidak tertakluk kepada parti.


Sementara itu, mengulas mengenai pembatalan tugas anggota pentadbiran termasuk Timbalan Perdana Menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik, Abdul Fareed berkata, secara praktikalnya Perdana Menteri Interim akan menggalas tanggungjawab kesemua menteri dengan bantuan Ketua Setiausaha Negara dan Setiausaha Kementerian-Kementerian.

Sementara itu, jelas Abdul Fareed, selagi tiada seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberi mandat oleh ahli-Ahli Dewan yang lain, Yang Di-Pertuan Agong boleh memberi nasihat dan pendapat untuk menyelesaikan kemelut politik.

Bagaimanapun, ia juga tertakluk kepada ahli Dewan Rakyat sendiri sama ada mereka ingin menyokong seseorang individu itu untuk menggalas jawatan Perdana Menteri.

“Perdana Menteri dipilih melalui seseorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat mandat ataupun kepercayaan kepada beliau. Ia juga mengikut budi bicara Yang Di-Pertuan Agong,” tambahnya lagi.

Tambah Abdul Fareed, pelantikan seorang Menteri Besar dan Ketua Menteri juga tertakluk kepada sokongan bilangan Ahli Dewan kepada seorang individu untuk menggalas jawatan tersebut dan ia tidak tertakluk kepada parti.

Dalam pada itu, Abdul Fareed turut mengulas mengenai jangkaan kerajaan untuk memberi bantuan terus kepada tiga sektor yang terjejas akibat wabak koronavirus (COVID-19) dalam pengumuman pakej-pakej rangsangan ekonomi yang bakal diumumkan pada 27 Februari.

Katanya, Perdana Menteri Interim masih boleh membuat pengumuman berkenaan pakej-pakej tersebut.

Berikutan persoalan mengenai pembubaran parlimen atau pelaksanaan pilihan raya kedua yang lebih awal, untuk pembubaran parlimen pada keadaan kebiasaan, Yang Di-Pertuan Agong, akan membubarkan Parlimen di atas nasihat Perdana Menteri.

Namun, dalam situasi ketiadaan Perdana Menteri ini, Fareed berkata, sekiranya kemelut politik ini belum berakhir, Yang Di-Pertuan Agong berhak atas inisiatif sendiri untuk membubarkan parlimen.

Pada Isnin, Al-Sultan Abdullah berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim, selepas menerima peletakan jawatannya.


 

BACA: Tempoh kritikal untuk perdana menteri interim tadbir negara - Penganalisis







Tag: Mahathir Mohamad, Dewan Rakyat, Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri interim, spekulasi pertukaran pakatan, politik, politik Malaysia



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.