Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar menyokong penuh tindakan mempelawa ahli-ahli Parlimen daripada Pas untuk menjadi sebahagian daripada komponen Pakatan Harapan (PH).

Jelasnya, perkara itu bukan sahaja dapat mengukuhkan pimpinan PH di peringkat pusat, bahkan dapat menambah bilangan ahli Parlimen Melayu di Dewan Rakyat.

Tambah beliau, pihak Amanah tidak mempunyai sebarang masalah jika Pas bekerjasama dengan PH walaupun pernah bermusuhan ketika pilihan raya umum yang lalu.

Ahli dan pimpinan Pas serta Barisan Nasional (BN) juga disarankan agar tidak terlalu memikirkan mengenai perbezaan politik yang ada sebaliknya fokus untuk berganding bahu dalam menerajui negara ke arah yang lebih baik berbanding pentadbiran terdahulu.

"Tidak ada apa masalah, macam sehari ini kita terima MP UMNO yang menyertai PPBM.

"Kalau Datuk Husam Musa berkata bahawa ahli-ahli Parlimen daripada pembangkang harus menyertai mana-mana parti PH yang ada, tidak ada masalah demi survival masa depan rakyat dan negara.

"Walaupun kita berbeza politik, tapi kita tidak boleh melihat kepentingan politik parti itu sehingga kita menjahanamkan negara."

Mahfuz berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Syed Omar, di sini, pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia turut menyangkal dakwaan bahawa pelawaan terbabit dibuat selepas parti komponen PH seperti Amanah dan Bersatu tercabar dengan jumlah kerusi ahli Parlimen DAP di Dewan Rakyat ketika ini.

Tegasnya, kesemua parti dalam Pakatan Harapan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip matang dalam berpolitik demi membawa Malaysia ke arah yang lebih baik.