Parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA menyatakan bantahannya terhadap usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dikatakan bakal melihat peluang di 26 daripada 40 kerusi Parlimen yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum akan datang berkemungkinan terjejas.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata cadangan persempadanan semula itu sekiranya dilaksanakan akan memberi kesan yang teruk buat parti kerana ia dilihat bertindak membahagi-bahagikan pengundi mengikut kaum.

Tambahnya dianggarkan sejumlah 1,000 hingga 10,000 pengundi yang menyokong MCA terlibat dalam usul persempadanan tersebut. Antara kawasan yang dijangka terjejas adalah Petaling Jaya Utara.

"Usul persempadanan yang membahagikan pengundi mengikut kaum ini tidak memberi gambaran yang baik kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan yang mengamalkan dasar-dasar 'moderate' dan 'inclusive'.

"Perkara ini harus diambil dengan serius dan usul persempadanan ini harus merujuk kepada kepelbagaian kaum masyarakat kita," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar MCA di sini hari ini.

Liow yang juga Menteri Pengangkutan melihat usul persempadanan tersebut sebagai 'melampau' dan bakal menjejaskan prestasi parti tersebut menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

"Dalam mesyuarat hari ini kami membincangkan bantahan yang akan dibuat secara formal terhadap usul ini.

"MCA akan menubuhkan jawatankuasa di setiap bahagian untuk mengumpul bantahan dan sekurang-kurangnya 100 tandatangan dari ahli parti untuk membantah persempadan tersebut," kata Liow lagi.

Jelasnya jawatankuasa MCA masih lagi mengkaji kawasan-kawasan yang akan terjejas akibat usul tersebut dan bakal menyiapkan kertas laporan yang akan disertakan dalam mesyuarat anggota Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada 23 September nanti.

SPR mula mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah selama sebulan bermula Khamis lalu sehingga 14 Oktober ini.

Sebelum ini, Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah berkata, pihaknya menyangkal dakwaan bahawa kajian itu dibuat untuk kepentingan pihak tertentu.

Tegasnya, pihaknya telah menjalankan peranan dan tanggungjawabnya sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.