Desakan pembangkang yang menuntut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pilah Mohamad Nazaruddin Sabtu agar meletakkan jawatan kerana dikatakan tidak mampu menjalankan tugas, adalah sangat melampau.

Ketua Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah Hasnan Abd Malek berkata tuduhan itu juga sebenarnya bertujuan meraih keuntungan politik parti pembangkang bagi mengganggu kestabilan Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Aminuddin Harun.

Hasnan, yang juga Pengerusi MPKK dalam DUN Pilah, berkata pihaknya mendapat kerjasama penuh daripada Mohamad Nazaruddin bahkan beliau mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya (Mohamad Nazaruddin) dan beliau juga masih mampu menghadiri program yang dianjurkan MPKK.

"Kesihatan beliau bertambah baik... kami amat yakin beliau mampu menggalas tanggungjawab dengan lebih berkesan lagi dengan sokongan dari kami.

"Saya amat yakin tuntutan supaya Adun Pilah meletakkan jawatan yang diadakan di Wisma Negeri baru-baru ini adalah berniat jahat dan atas kepentingan pihak tertentu... serangan dalam media sosial juga tidak menggambarkan keadaan sebenarnya," katanya dalam sidang media Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pilah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hasnan berkata, ketidakhadiran Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan Dan Adat Istiadat Melayu negeri itu pada pagi ini adalah disebabkan beliau mempunyai urusan di Seremban.

Selasa lepas, kira-kira 50 orang Pemuda UMNO Negeri Sembilan mengadakan demonstrasi di hadapan pintu masuk Wisma Negeri bagi mendesak Mohamad Nazaruddin meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat kerana didakwa tidak mampu menjalankan tugasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai penutupan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pilah, Hasnan berkata ia bukanlah selama seminggu seperti yang tular dalam media sosial Facebook sebelum ini, sebaliknya penutupan hanya selama dua hari.

"Pejabat hanya tutup dua hari. Ia disebablan pelantikan pegawai khas baharu, jadi pihak DUN menstruktur semula pengurusan.

"Pejabat ini juga masih diuruskan oleh Mohamad Nazaruddin dibantu empat pegawai pejabat, mana ada keluarga uruskan itu semua khabar angin," katanya.

Terdahulu, 23 MPKK DUN Pilah bersama wakil PKR Cabang Pilah menyatakan sokongan mereka kepada Adun Pilah Mohamad Nazarudin.

-- BERNAMA