Tutup

Pemilihan Amanah: Pilih berdasarkan merit bukan cai - Mat Sabu

Pemilihan Amanah: Pilih berdasarkan merit bukan cai - Mat Sabu
Mohamad berkata, sistem cai boleh menyebabkan pemimpin yang berkebolehan akan tersingkir dari jawatan-jawatan penting hanya kerana tidak dalam senarai kumpulan tertentu. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menasihatkan ahli-ahli dan perwakilan parti itu memilih pemimpin berdasarkan merit bukan senarai pilihan atau cai.

Menurut Mohamad seseorang pemimpin yang bakal dipilih perlu dilihat kebolehan dan kemampuan yang dimiliki kerana ia boleh membantu parti.

Jelas beliau, sistem cai boleh menyebabkan pemimpin yang berkebolehan akan tersingkir dari jawatan-jawatan penting hanya kerana tidak dalam senarai kumpulan tertentu.

"Sistem ini menyebabkan orang yang baik daripada kumpulan yang lain tak akan boleh menang, walaupun dia baik, dia bekerja tapi bukan dari kumpulan kita dia tak boleh menang.
"Kita mahu orang yang baik dipilih berdasarkan kerjanya, meritnya," katanya kepada Astro AWANI dalam satu temubual khas baru-baru ini.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan menasihatkan ahli-ahli Amanah melihat kembali apa yang telah berlaku kepada Pas yang menggunakan sistem cai menyebabkan pemimpin yang berkerja untuk parti tersingkir kerana tidak berada dalam senarai kumpulan tertentu.
"Parti Pas yang bertahan lama dulunya kerana dia melihat kepada merit, sebab itulah yang berkerja kuat itu selalunya top 10.

"Sehinggalah pada tahun 2015, tahun 2015 tidak berlaku begitu, dia (ahli Pas) lihat pada orang yang disenarai yang ini perlu dipilih, jadi soal kerja, soal pengorbanan kepada parti yang ini tidak diambil kira," katanya lagi.

Disember ini, Amanah bakal mengadakan pemilihan pimpinan parti peringkat nasional buat pertama kalinya selepas ditubuhkan empat tahun lalu.

Pemilihan di kawasan-kawasan yang akan berlangsung sehingga akhir Ogos, selepas itu pemilihan di peringkat negeri akan berlangsung pada Oktober.



Tag: Parti Amanah Negara, Amanah, Mohamad Sabu, pemilihan, pimpinan, cai, kawasan, negeri, Pas, pilih pemimpin, ahli Amanah



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.