Fasa kedua Pemilihan PKR Selangor yang berlangsung pada Ahad dilihat dicemari dengan pelbagai insiden kekecohan serta masalah pengurusan yang lemah di hampir sebahagian daripada tujuh cabang yang dipertandingkan.

Seperti dijangka, cabang Gombak antara cabang yang dilihat panas pada pemilihan kali ini di samping enam lagi cabang iaitu Selayang, Puchong, Petaling Jaya Selatan (PJS), Petaling Jaya Utara (PJU), Klang dan Kuala Langat.

Di Gombak, pada sebelah pagi proses pengundian dilihat berlangsung baik dan mengikut masa ditetapkan iaitu bermula jam 10 pagi, malah bekas penyandang Ketua Cabangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tidak bertanding kali ini juga turun padang meninjau lokasi.

Pihak polis leraikan ketegangan

Bagaimanapun, menjelang jam 12 tengah hari, suasana mula bertukar kecoh apabila berlaku ketegangan akibat salah faham antara dua ahli kem berbeza sehingga melibatkan campur tangan pihak luar.

Dalam insiden itu, terdapat seorang ahli dikesan membawa kertas cai (kertas untuk meraih undi) ke dalam pusat pengundian sebelum disedari ahli parti kem berbeza.

Disebabkan itu, berlaku perang mulut yang membawa kepada pergaduhan dan tolak menolak antara ahli parti kedua-dua kem, sebelum ia berjaya dileraikan.

Isu kecoh itu tidak habis di situ, apabila selang tiga jam kemudian berlaku kekecohan kedua disebabkan salah faham yang timbul gara-gara seorang anggota parti dihalang untuk masuk ke pusat pengundian.

Keadaan bertukar agresif apabila penyokong lain turut campur tangan sehingga berlaku insiden pukul-memukul sebelum disuraikan polis.

Sementara itu, pemilihan di cabang PJU yang berlangsung di Dewan Serbaguna Bandar Utama, apabila terdapat beberapa anggota tentera serta tujuh individu yang bukan ahli parti (pengundi hantu) didakwa cuba untuk mengundi pada pemilihan tersebut.

Proses undi lewat

Berlaku kekecohan hampir 10 minit, ekoran anggota tentera sememangnya tidak mempunyai kelayakan dan tidak dibenarkan menyertai mana-mana parti politik.

Bagaimanapun kedua-dua isu yang timbul itu berjaya dikawal dan mereka yang terlibat juga ditahan polis.

Berbeza pula dengan pemilihan PKR yang berlangsung di Cabang Selayang, Puchong, Kuala Langat dan Klang apabila kebanyakan masalah yang timbul lebih kepada isu pengurusan yang lemah membabitkan masalah kesesakan, proses pengundian lewat, isu keselamatan, pemilihan lokasi, faktor hujan, tiada laluan khas untuk pengundi OKU, uzur, warga emas atau wanita mengandung.

Di Puchong berlaku perang mulut apabila pengurusan proses pengundian dilihat bercelaru serta pusat pengundian dilihat tidak mampu menampung kapasiti pengundi yang ramai.

Dewan Serbaguna Majlis perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dilihat sebagai lokasi yang tidak sesuai kerana dewan yang kecil serta pengundi pula terpaksa berhimpit, bersesak dan beratur panjang sehingga ke luar pagar kerana terdapat hanya satu laluan mengundi disediakan.

Insiden sama berlaku di Selayang, apabila kebanyakan pengundi berang kerana beratur lama.

Ketiadaan laluan khas untuk pengundi OKU, warga emas, uzur serta wanita mengandung juga menyebabkan pengundi yang tiada masalah terpaksa memberi laluan kepada mereka walaupun sudah beratur lebih awal.

Selain itu, masalah teknikal melibatkan sistem pengundian di pusat pemilihan tersebut turut menyebabkan proses undian tergendala kira-kira setengah jam.

Kelemahan dari segi isu keselamatan serta kemudahan yang tidak mesra OKU turut dibangkitkan di cabang Selayang apabila terdapat seorang pengundi berkerusi roda yang terjatuh.

Di Cabang Kuala Langat, kekecohan kecil timbul apabila pengundi hanya dibenarkan masuk mengundi pada jam 10.30 pagi dan hanya 10 hingga 15 orang sahaja dibenarkan masuk pada satu-satu masa.

Keadaan itu menyebabkan kesesakan sehingga sebahagian pengundi yang tidak berpuas hati melaungkan perkataan rempuh sebelum keadaan ditenangkan oleh petugas di pusat pengundian tersebut.

Payung pun nak rebut

Dalam pada itu, faktor cuaca juga dilihat menghalang sedikit proses perjalanan pemilihan di kesemua cabang pada kali ini dan umpamanya di Selayang berlaku perebutan payung ketika petugas mengedarkan kemudahan itu kepada pengundi apabila berlaku hujan lebat.

Dalam perkembangan lain, rata-rata pengundi khususnya yang berusia 50 tahun ke atas dilihat masih merungut dengan penggunaan sistem e-voting yang disifatkan sebagai leceh serta 'membuang masa'.