Parti Keadilan Rakyat (PKR) buat julung-julung kalinya mengadakan pengundian melalui sistem e-undi bagi melancarkan proses mengundi yang melibatkan 800,000 ahli parti itu di seluruh Malaysia.

Timbalan Pengerusi Jawantankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Dr Adzman Hedra berkata ahli tidak perlu takut dengan sistem e-undi kerana auditor bebas dilantik untuk memantau proses pemilihan termasuk pengekodan (coding).

BACA: Sistem e-voting oleh PKR perlu kajian menyeluruh

Adzman berkata, auditor yang dilantik akan memantau keseluruhan proses pengundian dari sebelum, semasa dan selepas pengundian.

Belia menjelaskan bahawa sistem e-undi bukan sistem pengundian dalam talian seperti yang diuar-uarkan sesetengah pihak tetapi merupakan kertas undi digital dalam peranti elektronik bagi menjimatkan masa, kos serta tenaga manusia.

Pembangunan aplikasi e-undi ini sebenarnya dibantu oleh sebuah syarikat yang akan diumumkan selewat-lewatnya minggu hadapan. - Astro AWANI/ISABELLE LEONG

“Kita tidak perlu takut dengan perkataan e-undi. E-undi yang dijalankan sebenarnya adalah transformasi daripada kertas undi kepada kertas undi digital. Ia sama proses pengundiannya, cuma dulu kita pakai kertas undi sekarang kita menggunakan kertas undi digital dan peti undi juga adalah digital.

“Itu beza mengundi secara manual, dan digital. Kita sudah bekerjasama dengan auditor tersebut hampir setahun untuk mewujudkan sistem yang berintegriti dan selamat,” katanya dalam siding media di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini.

Tambahnya, ahli parti hanya perlu hadir di pusat pengundian dan menunjukkan kad pengenalan bagi mengesahkan keahlian sebelum ke tablet yang disediakan untuk mengundi calon pilihan mereka.

Sebelum ini PKR menjalankan ujian ke atas sistem e-undi ini untuk mengenal pasti sebarang masalah supaya dapat diselesaikan sebelum berlangsungnya pemilihan pada 14 Sept hingga 13 Oktober depan.

Sebanyak 600 tablet akan digunakan dalam proses pemilihan tersebut.