Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dipilih sebagai Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jasin pada pemilihan PKR Melaka, Ahad lepas.

Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR Melaka dalam satu kenyataan pada Rabu, berkata Shamsul Iskandar memperoleh 404 undi menewaskan pencabarnya Zulkefly Othman yang mendapat 256 undi.

Shamsul Iskandar turut bertanding mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR, bagaimanapun JPP PKR Melaka tidak memberi keputusan bagi pertandingan jawatan peringkat pusat.

Exco Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Hal Ehwal Orang Asli Melaka, Ginie Lim Siew Lin pula memenangi jawatan Ketua Cabang Alor Gajah selepas meraih 520 undi.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya itu mengalahkan dua pencabarnya, Ahmad Abdul Wahid dan Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri, Muhammad Jailani Khamis, masing-masing mendapat 505 dan 264 undi.
ADUN Klebang, Gue Teck memenangi jawatan Ketua Cabang Tangga Batu setelah memperoleh 597 undi, menyingkirkan empat pencabarnya, Abdulah Ali yang meraih 574 undi, Rahmat Yusof (76 undi) dan Alias Abd Wahab (18 undi).

Anggota Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai pula memenangi jawatan Timbalan Cabang Tangga Batu dengan memperoleh 634 undi mengalahkan Mohd Lokman Abdul Gani yang mendapat 597 undi.

Halim Bachik pula dipilih sebagai Ketua Cabang Masjid Tanah dengan meraih 200 undi, mengatasi dua pencabarnya, Abdul Wahab Ibrahim dan Blogger 'Ratu Naga' atau nama sebenarnya, Syarul Ema Rena Abu Samah, masing-masing mendapat 151 dan 107 undi.

Sementara, Mohamad Riduwan Md Amin menjadi Ketua Cabang Kota Melaka setelah mendapat undi tertinggi 223 undi mengalahkan dua pencabarnya, Law Bing Haw dan S.Jeyamuralee, masing-masing mendapat 211 dan tujuh undi.

Dalam pada itu, Mohd Rafee Ibrahim yang meraih 376 undi memenangi jawatan Ketua Cabang Bukit Katil selepas mengalahkan pencabarnya Md Yusof Abdullah yang memperoleh 320 undi. -- Bernama