Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mahfodz Mohamed mengakui bahawa beliau pernah menegur Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu kerana sering tidak sealiran dengan Presiden parti.

“Saya secara peribadi telah menegur beliau, sebab saya lagi tua dari dia. Jika dia terus macam tu… orang ramai akan mula nilai beliau,” katanya pada sidang media sejurus selepas program Multaqa Ulama SeMalaysia anjuran PAS pada Sabtu.

Katanya, Mohamad atau lebih dikenali dengan Mat Sabu perlu akur dengan kepimpinan ulama serta menyokong Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sama ada beliau suka atau tidak.

Menyentuh tentang kepimpinan Abdul Hadi, Mahfodz berkata kepimpinan beliau sangat relevan kepada PAS dan juga kepada Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri ketika ditanya siapakah individu yang layak menjadi Timbalan Presiden PAS selain Mat Sabu, katanya itu terpulang kepada ahli untuk menentukannya.

“Terpulang kepada ahli…. kita hanya menceritakan siapa yang ada kemampuan menjadi pemimpin. (Biar) ahli yang tentukan,” katanya.

Mat Sabu dan beberapa pemimpin kanan PAS sebelum ini dibidas perwakilan Ulama PAS Perak yang mana beliau mendesak pemimpin kanan parti itu melepaskan jawatan sekiranya tidak mahu lagi menyokong Abdul Hadi.

Berucap dalam satu sesi perbahasan program yang sama, Sidek Noor menyelar timbalan parti serta naib presiden dan beberapa ahli jawatankuasa pusat kerana sering bertindak membelakangi Presiden.

Sebelum ini, Mat Sabu pernah bertindak membelakangi Presiden parti semasa isu Menteri Selangor tahun lalu.

Mat Sabu pada ketika itu berkata kenyataan Abdul Hadi yang menyokong jawatan Menteri Besar Selangor kekal kepada Tan Sri Khalid Ibrahim, bukanlah keputusan rasmi parti itu.