Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin kesemua 29 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik sebagai menteri dan pembantu menteri hari ini melambangkan kesatuan semua bangsa di Sabah.

Jelas Shafie, kepelbagaian kaum pemimpin barisan Kabinet yang dipilih adalah melambangkan semangat 'Sabah Baharu' yang dibawa oleh kerajaan baharu ini.

"Ini yang Sabah baharu yang kita nyatakan. Sabah milik kita dan kita punya. Saya menyeru pada orang Sabah... jangan kita dipisahkan oleh kaum dan agama.

"Kalau boleh kita mahu orang kita menjadi menteri, tetapi kalau semua orang Bajau menjadi menteri orang Kadazandusun menjadi menteri macam mana.

"Jadi, itu yang kenyataan, sebab kita mahu harmonikan dengan setiap parti-parti yang ada," katanya dalam sidang media di kediaman rumahnya, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Shafie turut mengesahkan bahawa kerajaan negeri Sabah hanya akan mempunyai 10 kementerian sahaja mengikut undang-undang yang telah ditetapkan oleh perlembagaan.

"Mengikut perlembagaan kita akan tertakluk cuma 10 saja kementerian, kecuali kita pinda perlembagaan.

"Tapi setakat ini memadai. Kita tak nak belanja banyak. Dari segi belanja untuk rakyat boleh, tapi belanja untuk banyakkan kementerian itu satu perkara yang agak membimbangkan kita," katanya.

Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata beliau turut menyuarakan penyertaan calon daripada parti lain untuk membantu kerajaan mentadbir negeri ini.

Jelasnya, setakat ini 6 ahli Parlimen daripada Parti Warisan telah dipilih bagi membarisi kerajaan baharu.

"Saya juga telah minta daripada ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP supaya wakil daripada DAP juga dapat diserahkan oleh ibu pejabat DAP bagi mewakili negeri sabah dalam pentadbiran pusat," katanya.

Terdahulu, seramai 10 ADUN Sabah termasuk dua ADUN dilantik hari ini mengangkat sumpah sebagai ahli jemaah menteri Sabah yang baharu di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.

Kerajaan baharu ini turut menyaksikan empat kementerian baharu diwujudkan iaitu Menteri Perdagangan dan Perindustrian; Menteri kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat; Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri; Menteri Menteri Pelajaran dan Inovasi.