BEBERAPA ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) menyatakan dengan jelas mereka menolak cadangan kerajaan tanpa parti yang dikemukakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Biarpun menganggap cadangan kerajaan tanpa parti itu baik namun ahli parlimen PH berpendapat yang perlu dipertahan dan dikekalkan adalah kerajaan PH yang mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan berpendapat biarpun idea kerajaan tanpa parti atau kerajaan perpaduan merupakan satu cadangan yang menarik dan perlu dipertimbangkan, namun ia tidak boleh ditubuhkan atas pengkhianatan, penipuan, rasuah, pengkhianatan mandat rakyat atau dengan mempromosikan perpecahan negara.

"Ia merupakan satu pandangan yang tidak masuk akal untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dengan cara memusnahkan Pakatan Harapan.

"Cara yang ideal untuk menubuhkan kerajaan perpaduan negara ialah membina Pakatan Harapan dan meyakinkan parti politik dan entiti lain untuk bersama-sama dalam kepentingan yang lebih besar negara untuk membina sebuah Malaysia baru berasaskan mandat Pakatan Harapan ketika Pilihan Raya Umum ke-14," katanya dalam satu kenyataan media.

Manakala Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula dalam kenyataan medianya melihat Dr Mahathir menolak untuk memenuhi janji-janji manifesto PH.

Guan Eng dalam kenyataan juga menjelaskan siri kejayaan PH selama 21 bulan membentuk kerajaan pusat.

Menurut bekas Menteri Kewangan itu, sejak 21 bulan lepas, PH bekerja keras memenuhi janji manifesto PRU14 termasuklah penurunan kadar tol untuk Lebuhraya Utara Selatan sebanyak 18 peratus bagi kenderaan persendirian dan projek MySalam yang menawarkan bantuan kewangan bernilai di antara RM4,000 sehingga RM8,000 untuk mereka yang menghidapi salah satu daripada 45 penyakit kritikal.

"Malah, kerajaan PH juga memansuhkan GST yang digantikan dengan SST dan membayar semula pemulangan kutipan GST yang berjumlah RM19.4 bilion, dan mengekalkan kedudukan kredit antarabangsa negara walaupun kerajaan terpaksa membayar berpuluh bilion ringgit kerana skandal 1MDB, Tabung Haji dan pelbagai skandal-skandal lain lagi," katanya.


Sementara itu, ahli parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa pula berhujah bahawa sistem kerajaan perpaduan tidak sepatutnya ditubuhkan sebaliknya kerajaan PH perlu dipertahankan.

Naib Presiden Amanah itu menjelaskan konsep kerajaan perpaduan oleh Mahathir masih kabur dan berpendirian kewujudan kerajaan PH disebabkan mandat yang diberikan oleh rakyat.

“Dr Mahathir menjadikan kuasa perdana menteri sebagai penentu tanpa perlu mengambil pandangan ketua-ketua parti secara konsensus untuk senarai Kabinet.

“Ini adalah ironinya kehadiran PH adalah untuk mereformasikan institusi kerajaan bagi memelihara kepentingan negara dan perpaduannya,” katanya.

Kerajaan baru ini tidak seperti manifesto PRU14 dan ia menentang mandat yang diberikan oleh rakyat pada PRU14, kata ahli parlimen Serdang, Ong Kian Ming.

“Kami berterima kasih kepada @chedetofficial (Mahathir) kerana tidak bersetuju untuk menubuhkan kerajaan bersama Umno dan Pas atas dasar pendirian. Sebab inilah kami memintanya untuk menubuhkan satu kerajaan PH yang baru.

“Tetapi apabila beliau memaklumkan kepada pemimpin PH yang beliau mahu menubuhkan kerajaan melangkaui batas parti (government of individuals not of parties), ia jelas ia merupakan cadangan yang tidak dapat dilaksanakan," ciap beliau di Twitter rasminya.

Ahli Parlimen Setiawangsa daripada PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berpendapat Malaysia itdak memerlukan pentadbiran “Kerajaan Tanpa Parti” yang dicadangkan, sekalipun dengan niat yang baik.

Katanya, bentuk kerajaan yang dicadangkan hanya diperlukan ketika krisis nasional yang kritikal.

Beliau mengambil contoh Britain yang pernah memiliki gabungan semua parti politik atau “Kerajaan Kebangsaan” semasa Perang Dunia Pertama, kemelesetan besar ekonomi dan Perang Dunia Kedua.

Nik Nazmi dengan tegas menjelaskan krisis utama yang dihadapi negara ketika ini dicipta oleh pihak yang beliau gelar sebagai “pengkhianat” dalam Langkah Sheraton.

"Mereka menolak muafakat dan manifesto PH.

"Tiada keperluan mendesak untuk satu “Kerajaan Tanpa Parti”. Malah, manfaat daripada bentuk kerajaan ini juga boleh dipersoalkan.

"Kita mesti membenarkan proses Perlembagaan negara kita untuk menyelesaikan masalah yang berlaku.

Nik Nazmi berpendapat mengetepikan “politik” tidak akan membantu meningkatkan ekonomi kita atau memadam rasa prejudis di antara kaum yang berbeza di negara kita.