Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Pemimpin PKR lompat parti tiada maruah - Syed Badli

Pemimpin PKR lompat parti tiada maruah - Syed Badli
SYED BADLI: Perbuatan khianat terhadap parti dengan mensabotaj dan membawa lari kerusi adalah tindakan yang tidak bermaruah dan terkutuk. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin seharusnya mengosongkan kerusi mereka selepas dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Naib Ketua, Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Syed Osman menegaskan peringatan itu termasuk kepada ahli-ahli Parlimen PKR yang memilih untuk keluar parti bagi membentuk kerajaan melalui 'pintu belakang'.
“Perbuatan khianat terhadap parti dengan mensabotaj dan membawa lari kerusi adalah tindakan yang tidak bermaruah dan terkutuk.

“Mereka yang terlibat seharusnya cakna bahawa kemenangan mereka pada pilihanraya yang lalu adalah melalui KEADILAN (PKR).
“Mereka harus sedar bahawa rakyat memberi mandat melalui undian berlogo parti yakni logo KEADILAN (PKR) di atas kertas undi, bukan di atas kapasiti mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR sebelum ini memutuskan Mohamed Azmin serta Zuraida dipecat sebagai anggota parti.

BACA: Azmin, Zuraida dipecat dari PKR berkuat kuasa serta-merta

Tegasnya, tindakan drastik itu diambil kerana tindakan kedua-dua individu berkenaan pada Ahad dianggap satu pengkhianatan terbuka dan mampu menjejaskan kestabilan Pakatan Harapan (PH).

Terdahulu, Mohamed Azmin dan 10 Ahli Parlimen PKR mengisytiharkan keluar parti dan meninggalkan PH bagi membentuk sebuah blok bebas di Parlimen.

Dalam pada itu, jelas Syed Badli, mereka yang berkenaan seharusnya berasa malu dan memulangkan semula kerusi itu kepada rakyat bagi menentukan calon baharu.

“Maruah dan integriti mereka telah tercalar dan mereka kini dikenali sebagai pemimpin yang tidak beramanah dan khianat.

“Saya mencabar kesemua mereka meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi masing-masing bagi menentukan sama ada rakyat mahukan pengkhianat sebagai pemimpin atau tidak,” katanya.

Sebelum ini, Mohamed Azmin Ali menyangkal sekeras-kerasnya tuduhan pihak yang melabelkan kumpulan berkenaan sebagai pengkhianat.

BACA: 'Kami sangkal sekeras-kerasnya pihak yang label kami pengkhianat'

Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan itu sebaliknya berkata, pengkhianat sebenar adalah mereka yang berusaha untuk menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad di tengah penggal.