Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa isu perkauman sempit kerap dimainkan oleh pemimpin politik yang terdesak bagi mengelirukan dan mendapatkan sokongan ramai.

Beliau berkata, wacana berkaitan soal perkauman juga kini kerap dimainkan terutama dalam kalangan ahli politik yang sebelum ini berkuasa, mempamerkan kekayaan dan 'merompak' tetapi kini menggunakan isu berkenaan bagi menarik golongan miskin bersama mereka.

"Mereka menggunakan isu kaum untuk mengelirukan orang ramai. Mengapa kita mahu membenarkan peminggiran dan pengabaian (terhadap mana-mana kaum) sedangkan kita mempunyai segala sumber.

"Mereka ini (yang terpengaruh dengan politik perkauman) sentiasa akan diperalatkan dan kekal dalam kemiskinan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Serantau Hidup Bersama Dalam Budaya Damai 2020 di sini pada Rabu.

Anwar berkata, prinsip kedamaian dan keadilan perlu diketengahkan supaya nasib semua kaum di Malaysia yang berdepan kemiskinan lebih terjamin.