Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Pemimpin UMNO, Bersatu elak buat kenyataan risiko keruh keadaan - Bastien

Pemimpin UMNO, Bersatu elak buat kenyataan risiko keruh keadaan - Bastien
Bastien (dua dari kanan) memakaikan topeng muka kepada seorang pelajar Cina di SMK Seri Jementah sambil diperhati Pengetua, Rahman Kechik dan Pemimpin NGO Jementah, See Ann Giap. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) harus menunjukkan jalan penyelesaian isu kerjasama dua parti dengan mengelak membuat kenyataan yang berisiko mengeruhkan keadaan.

Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn menegaskan, paling penting ahli parti diberikan penjelasan kepentingan mendapat sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
"Kita harus menerangkan kepada akar umbi bahawa tiada gunanya jika kita hanya mendapat kedudukan di dalam parti tetapi tiada sokongan rakyat semasa PRU15.

"Rata-rata rakyat menyatakan bahawa betapa pentingnya agar kedua-dua parti memikirkan jalan terbaik untuk menyatukan orang Melayu.
"Mereka berpendapat tidak perlu ada dua parti yang hampir identikal dari segi idealogi dan identiti untuk mewakili Melayu," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu kata Bastien, cabaran dan tentangan besar pada PRU15 dijangka daripada DAP yang mahu mempertahankan kerusi dimiliki mereka.

"Ambil contoh kerusi Bakri dan DUN Bentayan di Johor seperti yang diberitahu Senator Liew Chin Tong. Chin Tong juga memberitahu ahli akar umbi DAP Bakri dan Muar untuk membantu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman jika berlaku PRU dalam waktu terdekat ini.

"Saya hendak beritahu Chin Tong, akan ada lebih ramai calon UMNO dari golongan pemimpin muda. Kali ini baru buku bertemu ruas. Bukan setakat di Muar tetapi kita cabar di setiap Parlimen," jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan, Bastien yang juga Penaung Persatuan Belia Generasi Merdeka menyeru pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi bantuan kelengkapan keselamatan untuk melancarkan pembelajaran sekolah berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Masyarakat berharap agar lebih banyak NGO tampil untuk memberi sokongan dan semangat kepada pihak sekolah, guru dan pelajar yang sudah banyak tertinggal dari segi masa kerana pandemik COVID-19.

"Ini merupakan ujian kepada kerajaan setelah berjaya membendung COVID-19 dan pembukaan sekolah ini menjadi cabaran terakhir yang harus menjadi kemenangan kepada rakyat.

"Kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan murid merupakan aspek paling penting untuk mencapai kejayaan itu," ujarnya.

Terdahulu, Persatuan Belia Generasi Merdeka semasa program 'Back2School' pasca COVID-19 turut menyampaikan 5,000 pelitup muka, 25 liter cecair pembasmi kuman dan alat pengesan haba di 11 sekolah sekitar Segamat.


Tag: PPBM, UMNO, Pemuda UMNO, DAP, Merdeka, PRU, NGO, SOP, KKM, Exco, Muar, Parlimen, pilihan raya, pilihan raya umum, pandemik, Malaysia, Pemuda, keselamatan, operasi



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.