Pemimpin-pemimpin UMNO Kedah yang terlibat dalam mesyuarat khas bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) enggan berkongsi butiran mengenai apa yang dibincangkan.

Rata-ratanya, memilih untuk menepis soalan berhubung status politik Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dari pihak media dengan mengatakan tiada apa-apa yang perlu dikongsi.

Pandangan yang sama disuarakan Ketua Wanita UMNO Kedah, Datuk Maznah Hamid apabila ditemui.

"Tidak boleh kata apa. Mulut tutup," jawabnya ketika ditanya media.

BACA: Saya tetap setia kepada UMNO - Mukhriz

BACA: Kedudukan Mukhriz ditentukan anggota DUN, jemaah pemangku Sultan

BACA: 'Serah kepada rakyat nilai prestasi saya' - Mukhriz



Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pula memberi jawapan yang seakan sama ketika didekati media semasa beliau keluar dari PWTC.

"Tiada apa-apa," kata beliau.

Selain itu, Ahli Parlimen Sik Dr Mansor Abdul Rahman juga menyatakan perkara yang sama.

"Tiada apa-apa untuk komen," kata beliau.

Sehingga kini, pihak media masih menunggu di PWTC untuk mendapatkan kenyataan Timbalan Ketua UMNO Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Mesyuarat yang bermula pada jam 4.30 petang itu diadakan untuk membincangkan status jawatan Mukhriz sebagai MB Kedah dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.