Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta Pemuda Barisan Nasional (BN) agar tidak terlalu kecewa jika tidak dipilih menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-14.

Sebaliknya, semua jentera parti diingatkan agar terus berusaha memastikan kemenangan BN pada 9 Mei nanti.

"Saya minta jika kita tidak mendapat peluang (calon) kali ini, jangan ada rasa kekecewaan yang mendalam. Saya mahu seluruh jentera pemuda BN seluruh negara terus bangkit, bangun dan bekerja untuk memperlihatkan bahawa Pemuda BN di semua peringkat tetap terus menggerakkan panji-panji BN," katanya semasa berucap merasmikan Expo Pemuda 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau melihat Pemuda BN perlu diberi peluang untuk mewakili parti itu.

"Ada kawasan yang kita tahu boleh kita menang, dan banyak juga kawasan 'kemalangan'. Jadi kita harap tidak ada kawasan 'kemalangan'.

"Saya yakin Pemuda harus diberi peluang membuktikan bahawa jika pun dari segi rating mereka mungkin tidak tinggi berbanding orang lain, saya yakin, jika diberikan kepada mereka akan dapat memperlihatkan prestasi yang lebih baik daripada orang-orang yang merasakan dirinya adalah lebih baik daripada Pemuda," ujarnya.

Sokongan penuh itu diberikan memandangkan beliau juga berasal dari 'kilang' Pemuda BN.

"Saya yakin Khairy Jamaluddin akan terus memperjuangkan nasib Pemuda BN untuk diberikan tempat (calon PRU14)," tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan Pemuda BN agar berusaha untuk menang jika diberi peluang menjadi calon bagi mewakili BN pada PRU14.

"Buktikan pada saya dan pada BN bahawa apabila tempat diberikan (anda mampu menang), biar sesukar mana pun kawasan itu, kita harus berusaha untuk menentukan kemenangan dan membuktikan kita tidak pernah mengecewakan peluang yang diberi," katanya.