Pergerakan Pemuda UMNO perlu bangkit menjadi anak jantan mempertahankan parti dan kepimpinan daripada terus ditohmah dan dihina.

Berdasarkan pandangan umum sekarang, ramai ahli Pemuda dilihat hanya berdiam diri dan membiarkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) diserang dari pelbagai sudut.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata sejak kebelakangan ini, UMNO dan BN menerima pelbagai cabaran daripada pembangkang yang sentiasa menghasut rakyat dengan fitnah dan tohmahan.

Menurutnya, ahli UMNO, khususnya Pergerakan Pemuda, tidak mampu lagi untuk berpeluk tubuh, sebaliknya bangkit sebagai anak jantan untuk mempertahankan maruah keluarga besar parti.

"Ada orang kata, bila anak jantan, kita mesti kurang ajar, kena bersifat kasar, tidak semestinya.

"Sifat anak jantan ini maknanya kita bersedia untuk mempertahankan maruah kita, mempertahankan keutuhan kita, nama baik parti kita, nama baik pemimpin kita, kita tidak mendiamkan diri," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk di Wisma UMNO Bagan Datuk di sini pada Sabtu.

Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Datuk Khairudin Tarmizi, Naib Ketua UMNO Bahagian Datuk Shahrul Zaman Yahya, dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Dr Nik Mohd Azli Nik Ariffin.

Tajudin berkata, ahli UMNO tidak harus membiarkan pucuk pimpinan parti bekerja keras mempertahankan parti, sebaliknya mesti bersama menggembleng kekuatan bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Terdahulu, Dr Nik Mohd Azli dalam ucapannya mencadangkan supaya peranan dan jasa UMNO dalam pembangunan negara dimasukkan ke dalam silibus mata pelajaran di sekolah.