Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini berada di Pekan, Pahang, kunjungan pertamanya ke kawasan Parlimen yang diwakilinya itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Mereka tiba di kediaman Seri Kenangan kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi, kira-kira 3 jam selepas meninggalkan Kuala Lumpur.

Najib berkata, beliau pulang ke Pekan kerana rakyat di situ mahu beliau pulang.

“Mereka mahu menunjukkan penghargaan mereka dan terus menyokong saya untuk semua perkara yang saya buat.

“Mereka mahu saya terus berkhidmat kepada mereka sebagai ahli Parlimen. Saya saya bersyukur pulang ke sini,” katanya ketika ditemui pemberita.

Petang ini, Najib dijadual diberikan sambutan sebagai tanda sokongan kepadanya oleh Kelab Anak Wawasan Pekan (Kawan) dan Majlis Permuafakatan NGO Parlimen Pekan di pekarangan Bangunan UMNO Bahagian Pekanm

Selepas itu, pada pukul 5 petang, beliau dijadual merasmikan Mesyuarat Agung Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Amphitheater, Bangunan UMNO Pekan.

Najib juga dijadual hadir majlis berbuka puasa, solat Maghrib, solat Isyak, solat sunat terawih di Seri Kenanga.