Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menegaskan bahawa hari pengundian pada pilihan raya umum (PRU) bukanlah kali pertama diadakan pada hari bekerja.

Beliau berkata jika dilihat pada PRU pada tahun 1995 dan 1999, hari pengundian juga diadakan pada hari bekerja.

"Ini kerana pihak yang berkuasa menentukan tarikh pilihan raya adalah iaitu SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya). Ia merupakan sebuah badan bebas yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja," katanya dalam catatan terbaharu blognya, hari ini.

SPR hari ini menetapkan hari pengundian PRU14 pada 9 Mei dan tarikh penamaan calon pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal pada 5 Mei.

Salleh berkata terdapat suara-suara sumbang yang memprotes tarikh tersebut.

"Mereka mempersoalkan mengapa SPR memilih hari mengundi pada hari bekerja (Rabu) kerana kononnya boleh menimbulkan masalah kepada pengundi yang ingin pulang ke kampung untuk membuang undi.

"Mereka mendakwa tarikh ini sengaja dipilih SPR kerana mahukan peratusan keluar mengundi yang rendah untuk memberi kelebihan kepada UMNO," katanya.

Menurut Salleh, hari pengundian bukanlah isu utama kerana banyak kelonggaran diberikan kepada penjawat awam dan pekerja swasta pada hari mengundi.

Justeru, beliau amat berharap supaya kempen PRU ke-14 (PRU14) akan berjalan secara berhemah.

"Janganlah terlalu cepat mengkritik dan menabur fitnah kononnya kerajaan BN mahukan peratusan rakyat keluar mengundi yang rendah.

"Kita merupakan sebuah kerajaan yang telus dan semestinya peratusan keluar mengundi meningkat. Pastinya sasaran peratusan mengundi perlulah melebihi daripada purata 85 peratus seperti yang berlaku pada PRU 2013. Ini adalah semangat kita," katanya.

Sehubungan itu, Salleh mengajak seluruh rakyat keluar mengundi dan menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

"Semoga PRU14 berjalan dengan lancar dan rakyat yang layak mengundi dapat menjalani proses demokrasi untuk masa depan negara kita," kata Salleh.

-- BERNAMA