Penerbit filem yang juga ahli perniagaan, Razalif Mohd Zain menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dalam pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Razalif yang juga Ketua Armada Cawangan Sea View Park di Bahagian Bukit Bendera, Pulau Pinang mendaftar sebagai calon dan memfailkan borang penamaan calonnya di Pejabat Bersatu Bahagian Tanjong di George Town jam 10 pagi Ahad.

Beliau yang berasal dari Air Itam menawarkan diri untuk bertanding atas keyakinan terhadap kesuburan demokrasi dalam Bersatu yang tidak mencantas golongan muda bertanding jawatan tertinggi walaupun kurang berpengalaman.

Berusia 30 tahun, Razalif berhasrat untuk memperbaharui perjuangan sayap Armada dalam isu-isu membabitkan pemuda di negara ini

"Salah satu sebab saya hendak bertanding jawatan Ketua Armada adalah kerana kita (Bersatu) mengamalkan prinsip demokrasi dan saya juga ingin memperjuangkan nasib dan masa depan Armada.

"Saya bawa lima teras iaitu agama, bangsa dan negara, Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara, serta kebajikan Armada, ekonomi Armada, anak muda masa depan negara dan nakhoda bangsa," katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini hari ini.

Menurut Razalif, beliau telah memulakan kempennya sejak bulan Januari tahun lepas dan yakin memiliki sokongan dari bahagian-bahagian tertentu.

Kata Razalif lagi, beliau juga telah mendekati rakyat dalam pelbagai program kebajikan yang dilakukan dan menerima galakan bagi bertanding jawatan berkenaan.

Jawatan Ketua Armada disandang oleh Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan.

Ahli Parlimen Muar itu sebelum ini telah mengumumkan akan bertanding mengekalkan jawatan berkenaan.