Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berpunca daripada golongan 'pengkhianat' yang telah mengkhianati parti.

Malah, Ahli Parlimen Pandan itu turut berkata bahawa sifat tamak dan rasa tidak pernah cukup dengan apa yang dimiliki juga merupakan antara sebab lain kejatuhan PH.

“Pengkhianat tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan.

“Sesetengah mereka tidak mempunyai rasa puas atau tidak pernah rasa puas dan mereka mungkin mahukan lebih dan itu saya rasa membawa kepada kekalahan PH,” katanya ketika ditemubual dalam sebuah rancangan yang disiarkan oleh saluran Bloomberg pada Selasa.

Jelasnya, pihaknya percaya kepada prinsip kebaikan hati untuk menjadikan Malaysia lebih baik.

“Tetapi tidak semuanya yang kalah kerana kita ada ramai lagi di antara kami yang percaya kepada prinsip kebaikan hati boleh menjadikan Malaysia yang lebih baik. Ini yang saya rasa dan saya perjuangkan selama ini,” tegasnya.

Selain itu, Wan Azizah turut ditanya mengenai siapakah individu yang wajar dipilih sebagai pemimpin kerajaan PH yang baharu.

Jelasnya, pihaknya perlu mengadakan mesyuarat terlebih dahulu untuk memilih pemimpin yang wajar mengetuai pakatan itu.

“Itu saya rasa kita perlu bermesyuarat terlebih dahulu.

“Bagaimanapun, saya rasa ia sepatutnya dipegang oleh Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya.