Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Pengumuman Mukhriz bersifat sementara, untuk reda suhu politik - Shaiful

Pengumuman Mukhriz bersifat sementara, untuk reda suhu politik - Shaiful
SHAIFUL: Dalam hal ini ini, kita kena bersifat adil kepada Mukhriz, kita kena beri ruang untuknya mengambil pendekatan dan strategi. - Gambar fail
ALOR SETAR: Pengumuman Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mengekalkan kepimpinan kerajaan negeri yang berstatus PH dan Bersatu dilihat sementara dan untuk meredakan suhu politik semata-mata.

Timbalan Ketua Bahagian UMNO Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menegaskan, ia merupakan tanggungjawab Mukhriz untuk memastikan suasana tenang dan mengelakkan pergolakan seandainya terdapat pertukaran drastik kepada kepimpinan Kedah sendiri.
“Dalam hal ini ini, kita kena bersifat adil kepada Mukhriz, kita kena beri ruang untuknya mengambil pendekatan dan strategi. Kita tunggu dan lihat.

“Saya yakin apa juga keputusan yang disimpulkan Sidang Parlimen Khas pada 2 Mac ini akan menyebabkan keadaan negeri berubah,” katanya semasa ditemui di sini, pada Jumaat.
BACA: Pentadbiran kerajaan negeri Kedah kekal - Mukhriz

BACA: 
Kesepakatan di Kedah perlu dijadikan contoh di peringkat pusat - Mahfuz

Sebelum ini, Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata calon Perdana Menteri akan ditentukan pada Persidangan Khas Dewan Rakyat yang akan diadakan pada 2 Mac.

Tegasnya, perkara itu terpaksa dilakukan berikutan pertemuan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan ahli Parlimen selama dua hari yang berakhir semalam tidak menemukan calon yang memperoleh majoriti jelas.

Dalam pada itu Shaiful turut meminta Mukhriz melihat gandingan lebih sesuai di Kedah iaitu UMNO, Pas dan Bersatu.

“Kita ada sejarah, kita parti Islam, Melayu dan pada masa sama menaungi serta melindungi kaum-kaum lain.

“Saya lihat Bersatu tidak sesuai untuk bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang dan janggal bersama Mohamad Sabu serta Khalid Samad.

“Kita tidak boleh lupa UMNO dan Bersatu ada sejarah lampau dan tercatat dalam lipatan sejarah politik negara,” ujarnya.

Jelasnya lagi, UMNO, Pas dan Bersatu perlu bersedia bersama selain Mukhriz sendiri perlu membina pasukan baharu untuk agenda kemajuan Kedah.

“Kita lihat pendekatan konstruktif sebab rakyat sudah muak dan sakit kepala melihat suasana politik semasa.

“Kita bergerak ke depan, bukan menambah suhu dan sentiasa positif. Namun jika Mukhriz tidak bersama, kita akan jadi pembangkang yang berwibawa, ada ketepatan fakta luar biasa dan membawa perubahan,” tegasnya.

Terdahulu, Mukhriz turut mengumumkan kepimpinan kerajaan PH dan Bersatu ketika ini juga tidak akan melakukan sebarang perubahan ke atas portfolio yang dipegang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) sedia ada.

Kedudukan komposisi kerusi DUN di pihak pembangkang negeri itu menyaksikan gabungan Muafakat Nasional kekal dengan 17 kerusi di mana Pas memiliki 15 kerusi manakala Barisan Nasional 2 kerusi.