Calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang menolak kehadiran "pengundi hantu" yang didakwa akan membantu memberikan undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 18 Januari ini.

Menurut Karim, sepanjang penglibatannya dalam dalam bidang politik, beliau tidak pernah "bersemuka" dengan pengundi hantu sepertimana yang didakwa segelintir pihak.

Justeru, bekas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bongawan itu yakin PRK Kimanis akan berlangsung secara telus.

"Saya kurang pasti dengan pengundi hantu itu. Masih ada ke atau hantu-hantu itu sudah lari? Hal itu saya kurang pasti.

"Saya rasa tidak (tiada pengundi hantu). Pengalaman saya sudah lima kali bertanding (sebagai) ADUN, saya tidak pernah terjumpa dengan 'orang hantu' yang menjadi pengundi," katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan di Pasar Tamu, di sini, pada Ahad.

PRK Kimanis diadakan susulan Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan Datuk Seri Anifah Aman pada Pilihan Raya Kecil 14 (PRU14) selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Karim memfailkan petisyen pada 18 Jun 2018 bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Karim dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail pada PRU14.

PRK Kimanis menyaksikan pertembungan antara Karim dan calon BN, Datuk Mohamad Alamin.