Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Shahidan Kassim mengingatkan pengundi Melayu supaya tidak mempertaruhkan undi kepada parti pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) untuk mengelak DAP menerajui pentadbiran negara.

Beliau berkata perkara itu tidak boleh diambil mudah kerana kemenangan Barisan Nasional (BN) dan UMNO untuk membentuk kerajaan Persekutan sekali gus memartabatkan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

"Jangan bagi (undi) kepada pembangkang.... kalau pembangkang menang, sudah tentu diketuai DAP dan kita semua duduk di bawah telunjuk DAP," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan persidangan perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kubang Pasu di Jitra dekat sini, pada Jumaat.

Turut hadir Ketua Wanita UMNO bahagian itu Datuk Khalidah Adibah Ayob.

Shahidan berkata realitinya pengundi perlu membuat pilihan bijak dengan memilih wakil rakyat daripada parti yang boleh membentuk kuasa dan jemaah menteri yang mampu menjaga kebajikan rakyat.

Beliau bagaimanapun yakin rakyat bijak dalam menilai kerajaan sedia ada di bawah pentadbiran BN dan UMNO yang sangat mengutamakan kepentingan serta kesejahteraan rakyat .

-- BERNAMA