Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini mengesahkan bahawa pentadbiran Negeri Selangor kini tidak lagi dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Tegasnya, secara automatik Bersatu kini bukan lagi sebahagian dalam gabungan Kerajaan Negeri Selangor.

“Justeru, keterlibatan semua pimpinan dan Ahli Bersatu adalah terkeluar daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Permuafakatan Ketua Kampung (MPKK), anak-anak syarikat kerajaan negeri serta seluruh rangkaiannya yang berkaitan sesuai dengan keadaan politik semasa,” katanya dalam satu sidang media di sini pada Khamis.

Perkara itu juga telah dimaklumkan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.


Amirudin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor berkata, Pakatan Harapan Selangor yang terdiri daripada parti Keadilan, Dap dan Amanah telah memutuskan untuk menyokong pentadbiran beliau sebagai Menteri Besar.

Menurut beliau lagi, sokongan itu sebagai menghormati mandat rakyat yang besar dan juga kepercayaan yang tinggi kepada PH di negeri Selangor selepas menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

Tegas beliau, Pakatan Harapan Selangor bertegas sepakat untuk menolak sebarang cubaan mengganggu-gugat mandat rakyat.

Terdahulu, beliau memaklumkan, pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor akan kekal berjalan seperti biasa atas perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Selangor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan komposisi yang terdiri daripada 19 kerusi dikuasai PKR, DAP (16), Amanah (8), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (5), Barisan Nasional (5), PAS (1) dan Bebas (2).