Tidak perlu menunggu pilihan raya umum seterusnya untuk menukar perdana menteri, kata Datuk Mahfuz Omar.

Ahli Parlimen PAS Pokok Sena itu berkata, terdapat beberapa kes di Malaysia, termasuk yang berlaku baru-baru ini, apabila kepimpinan telah ditukar tanpa melalui proses pilihan raya.

Dalam kenyataan media hari ini, Mahfuz mengulas mengenai kenyataan yang dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri berikutan majlis menandatangani Deklarasi Rakyat oleh 58 pemimpindan bekas pemimpin dalam usaha member tekanan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk meletakkan jawatan.

Jumaat lalu, Pejabat Perdana Menteri menyatakan bahawa sekiranya deklarasi yang ditandatangani itu mahukan perubahan dalam kerajaan, mereka perlu menunggu pilihan raya umum untuk berbuat demikian.

Mahfuz menyifatkan kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri itu ‘tidak masuk akal’.

"Hendak tukar perdana menteri bukan perlu tunggu dan melalui pilihan raya. Cukup kalau sama ada perdana menteri letak jawatan, hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen ataupun perdana menteri meninggal dunia.

"Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak tidak melalui pilihan raya umum untuk menjadi Perdana Menteri,” ujarnya yang turut mengambil contoh pertukaran pentadbiran negeri seperti di Perak.

Tambah Mahfuz, Menteri Besar Kedah yang baru sebulan bertukar juga bukan melalui pilihan raya, tetapi melalui undi tidak percaya ADUN UMNO Barisan Nasional (BN) terhadap Mukhriz di luar dewan melalui pernyataan di hadapan Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Selain itu, menurut Mahfuz, prosedur yang sama iaitu sama ada Najib letak jawatan atau Ahli Parlimen UMNO dan BN sepakat menandatangani Akuan Bersumpah untuk menarik balik sokongan sebagai tanda undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.