Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa terpulang kepada beliau untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri atau pun sebaliknya.

Menurut beliau, setakat ini peralihan kuasa akan berlaku seperti mana ditetapkan selepas penganjuran Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

“Saya telah katakan bahawa peralihan kuasa berlaku lepas APEC. Tiada masa, tiada tarikh, tiada apa pun (ditetapkan).

“Terpulang pada saya untuk melepaskan ataupun tidak. Itulah kepercayaan yang mereka berikan pada saya. Alhamdulillah,” demikian katanya, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH, di sini, malam ini.

Dr Mahathir dalam pada itu mengakui bahawa terdapat dua pendapat berbeza sebelum majlis mesyuarat Presiden PH bersetuju untuk mendengar pandangannnya.


Katanya, perbincangan 'panjang lebar' telah berlangsung sepanjang mesyuarat itu bagi kepentingan parti.

"Akhirnya saya rasa bangga, semuanya diserah kepada saya, apa saya kata, mereka akan turut.

“Saya gembira, alhamdulillah akhirnya mereka meletakkan kepercayaan kepada saya,” ujarnya.

Turut hadir barisan pimpinan utama PH iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Selain enam pemimpin terbabit, Mesyuarat Majlis Presiden turut dihadiri 19 pemimpin parti komponen masing-masing.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut memaklumkan selain isu peralihan kuasa, PH turut membincangkan keputusan untuk memutuskan calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak nanti.

Katanya, fokus utama PH adalah untuk mengharungi cabaran besar itu supaya tiada parti komponen dalam gabungan berkenaan yang terpaksa berdepan sesama sendiri.

"Saya juga bincang mengenai PRN Sarawak, supaya calon-calon kita tidak berlawan sesama parti komponen.

"Kita juga akan anjurkan konvensyen yang tarikhnya belum ditentukan lagi," katanya.

Terdahulu, isu peralihan kuasa dijangka dibincangkan dan dimuktamadkan dalam mesyuarat tersebut seperti mana dimaklumkan Anwar selepas pertemuan dengan Dr Mahathir pada 13 Februari lalu.

Dr Mahathir sebelum ini mengulangi janjinya untuk meletak jawatan sebagai Perdana Menteri selepas penganjuran Kerjasama Ekonomi Asia (APEC) 2020 pada November depan.