Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pertemuan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam sebagai satu tindakan politik yang terdesak.

Ujar beliau, tindakan Tun Mahathir menemui seteru politiknya itu dilihat sebagai tidak ikhlas kerana tujuan utama beliau adalah bagi meraih sokongan daripada pihak pembangkang.

"Saya menghargai usaha yang dibuat oleh Tun Mahathir untuk menemui Datuk Seri Anwar Ibrahim. Itu jelas memperlihatkan jiwa besar beliau yang sanggup menemui seteru politik beliau."

"Namun, umum melihat bahawa tindakan itu merupakan tindakan politik yang terdesak kerana beliau mengetahui bahawa Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dibawa oleh Datuk Seri Anwar walaupun mungkin dekat di hati Tun Mahathir tetapi pada bacaan umum, tujuan tersirat beliau adalah untuk bukan bersetuju dengan Datuk Seri Anwar, bukan setuju untuk berkawan sebagaimana kenyataan beliau tetapi mempunyai tujuan politik atas keadaan yang terlaku terdesak kerana beliau memerlukan sokongan parti-parti dalam kumpulan pembangkang untuk menyertai beliau."

BACA: Selepas 18 tahun, Mahathir-Anwar bersalaman

BACA: Pertemuan Mahathir-Anwar mungkin titik awal gabungkan blok pembangkang - Penganalisis

"Atas keterdesakan itulah maka perkiraan Tun Mahathir bertemu dengan Datuk Seri Anwar dan umum menganggap pertemuan politik yang tidak mempunyai keikhlasan," katanya ketika diterima pemberita selepas menghadiri perjumpaan bersama Ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan Syarikat dan Pelanggan Industri Kawalan Keselamatan Negara di sini, hari ini.
Pertama kali dalam tempoh 18 tahun, Tun Mahathir menemui bekas timbalannya itu di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk kes saman Anwar bagi mencabar pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Kedua mereka dilaporkan bertemu, bersalaman dan berbincang selama kira-kira 20 minit dalam bilik saksi sebelum Anwar menfailkan injunksi sementara tersebut.