Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mahu sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dari Barisan Nasional (BN) layak bertanding dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Jelasnya, prestasi golongan wanita yang amat berkelayakan dan memberangsangkan dapat membantu memberi kemenangan kepada BN.

Katanya, antara cabaran ketika ini adalah untuk mengenalpasti kawasan untuk bertanding pada peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri.

“Kita ada wanita berkelayakan, tetapi mereka tidak mahu menonjolkan diri. Jika kita lihat hari ini, Wanita UMNO terdiri daripada ramai yang berpendidikan tinggi dan mempunyai pengalaman.

“Tetapi, mereka mungkin tidak cukup bersemangat dalam meminta tempat untuk bertanding dan saya sebagai Ketua Wanita, saya mesti berani bersuara untuk minta sekurang-kurangnya 30 peratus ini.

“Saya tahu perjuangan ini tidak mudah, tetapi saya tidak akan putus asa,” kata Shahrizat selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kepong di Kuala Lumpur malam tadi.

Beliau juga menegaskan Wanita UMNO perlu terus berada dalam keadaan siap siaga dan memperkemas gerak kerja Jalinan Rakyat dan Jalinan Rakyat Plus untuk menghadapi PRU14.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang merasmikan majlis tersebut dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.