Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad yakin perselisihan faham antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan Parti Amanah Negara (Amanah) berhubung pembahagian kerusi di Selangor untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan selesai.

Beliau memaklumkan bahawa pihak terlibat telahpun bertemu dengannya bagi menyelesaikan perkara tersebut.

“Memanglah nak bersetuju empat buah parti bukan mudah.

“Saya selalu kata bila ada rundingan antara banyak pihak apabila kita dapati tidak ada satu pihak pun yang berpuas hati, bermakna kita adil. Parti kami (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) pun tak puas hati,” katanya selepas sesi Bicara Pimpinan Anak Muda Bersama Tun M ‘Tun M: Tawaran Untuk Anak Muda’ di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu perselisihan antara Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi PKR Selangor, Datuk Mohamed Azmin Ali dengan Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim.

Pada masa sama beliau seperti menegur tindakan itu, dengan menyatakan bahawa kenyataan yang dibuat secara terbuka seperti dalam hal ini ada kalanya membawa kesan negatif, dan ada perkara yang perlu diselesaikan secara dalaman tanpa publisiti.

“Mereka telah jumpa saya, jelaskan apa yang berlaku dan beri pengakuan akan selesaikan masalah ini, cuma minta sedikit masa,” katanya.

Semalam, Mohamed Azmin mendakwa Amanah Selangor ‘tidak amanah’ dan berbohong apabila mengatakan kononnya tiada jawatankuasa khas pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dibentuk oleh PH.

Sebaliknya jelas beliau, beliau yang juga Pengerusi PH Selangor menegaskan bahawa mesyuarat sudah diadakan empat kali membincangkan soal pembahagian kerusi DUN sebelum ini.

Sebagai membalas kenyataan tersebut, Izham tetap menegaskan tidak langsung ada perbincangan dan PKR hanya berbincang sesama sendiri tanpa bersama parti lain.

Malah, Izham turut menyatakan bahawa Mohamed Azmin seorang ‘joker’ dan tidak layak menjadi Menteri Besar dan Pengerusi PH Selangor kerana berdolak-dalik dalam isu tersebut.