Perselisihan faham dalam PKR perkara biasa - Azmin

Perselisihan faham dalam PKR perkara biasa - Azmin
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melaungkan slogan 'Reformasi' semasa menyampaikan ucapan dasar pada majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Wanita dan AMK di (MITC Ayer Keroh, malam ini. - Foto BERNAMA
AYER KEROH: Di sebalik tuduhan dan spekulasi pihak tertentu mengenai persengketaan antara pemimpin utama dalam PKR, perasmian Kongres Wanita dan AMK yang berlangsung dengan lancar dan sempurna, membuktikan ia dapat diatasi dengan baik, kata Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, dalam parti yang dinamik seperti PKR, perselisihan faham adalah perkara biasa, dan akhirnya semua pihak akan bersatu dan mencapai konsensus apabila tiba masanya.

“Kongres tahunan AMK dan Wanita ini saya kira amat berjaya seperti tahun-tahun lalu dan tradisi seperti yang ditunjukkan malam ini cukup unik dalam PKR.

“Walaupun ada spekulasi dan tuduhan beberapa minggu dan bulan lalu, tapi kekuatan yang ada pada kepimpinan parti, dipimpin Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim, Majlis Pimpinan Pusat, AMK dan Wanita, kita berjaya merungkai banyak masalah, dan semuanya bersatu teguh untuk teruskan perjuangan ini,” katanya kepada sidang media selepas melancarkan kongres kedua-dua sayap berkenaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini malam ini.


Sebelum ini Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi hanya diberi lampu hijau untuk merasmikan Kongres Nasional Wanita, bertentangan dengan kelaziman tahun-tahun sebelumnya di mana kedua-dua kongres sayap sering dirasmikan Timbalan Presiden.

Rentetan situasi itu, media difahamkan akan berlaku satu lagi kongres berasingan yang akan diadakan di sebuah hotel di ibu negara, sebagai tanda protes kumpulan tertentu.

Namun semalam Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata MPP PKR bersetuju agar Mohamed Azmin merasmikan kedua-dua kongres Wanita dan AMK.

Mengulas mengenai perkara itu, Mohamed Azmin berkata, beliau gembira kerana parti masih mengikut tradisi sejak penubuhannya.

“Selagi saya masih Timbalan Presiden, selagi itulah tradisinya Timbalan Presiden merasmikan AMK dan Wanita, manakala Presiden akan merasmikan kongres utama. Saya gembira dapat terus bersama AMK, dan Wanita,” katanya lagi.




Tag: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, Kongres Wanita dan AMK, Kongres PKR, Parti Keadilan Rakyat, PKR, Anwar Ibrahim, MITC, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Fahmi Fadzil



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.