DI DALAM kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) fobia itu bermaksud ketakutan yang amat sangat akan sesuatu.

Sementara Wikipedia menyatakan fobia boleh menghalang kehidupan orang yang menghidapnya.

Di dalam konteks ini, nama bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad disebut sebanyak lima kali di dalam ucapan dasar Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Menyebut lima kali nama bekas perdana menteri itu tidak sekalipun menandakan Najib gentar atau goyang terhadap tindak-tanduk Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu.

Ada juga berlegar di sistem pesanan WhatsApp atau status-status terbaharu di Facebook rakan-rakan yang melihat pengulangan nama negarawan ia tanda trauma UMNO kepada susuk tubuh berusia 92 tahun, namun realitinya ia harus dilihat sebagai peringatan kepada ahli parti sendiri.

BACA: LAPOR LANGSUNG Jangan politikkan RUU355 - Najib

Najib sendiri memulakan ucapannya dengan memberitahu cukuplah dia bersifat gentleman dan berlembut terhadap serangan bertubi-tubi Dr Mahathir selama ini.

Tegas Najib, kini sudah sampai masanya dia membalas kembali cercaan serta tuduhan oleh pelbagai pihak termasuk Dr. Mahathir bersama konco-konconya yang selama ini menghambur kata-kata cacian kesat lagi kasar kepadanya.

Apa tandanya?

Ia membawa mesej jelas cukuplah UMNO berlembut dengan cacian dan fitnah yang dilemparkan, cukuplah selama ini UMNO bertahan dan menjadikan benteng sayap parti sebagai penahan apa sahaja serangan daripada pembangkang.

Ini bukan lagi masa UMNO untuk bertahan namun saat menyerang.

Najib dalam ucapannya turut mengulang sejarah, episod pertembungan antara Team A dan Team B, semasa Pemilihan Presiden UMNO pada tahun 1987.

Katanya, dia sendiri merupakan antara yang memberi sokongan kepada Dr Mahathir selain ahli-ahli UMNO lain yang memberi dokongan kepada bekas perdana menteri itu sendiri pada waktu itu.

Najib turut menyatakan tindakannya menjadikan Tengku Razaleigh Hamzah ketika itu berkecil hati dengannya.

Namun jelas Najib, apa yang dilakukan itu semata-mata berpegang atas prinsip wala’ dan tuntutan kesetiaan kepada seorang presiden walaupun secara peribadinya sangat akrab dengan Tengku Razaleigh.

Dalam pada itu, Najib mengulang kembali bantuan dan sokongannya kepada Dr Mahathir yang pada ketika itu berhadapan detik UMNO diharamkan pada 1988.

Apa akhirnya?

Najib mengakui tahun ini merupakan kali ke-13 dia berdiri di podium dan pentas dalam dewan, lima tahun selaku Timbalan Presiden Parti dan masuk tahun kelapan sebagai Presiden Parti UMNO.

Apakah sehingga saat ini, selepas pelbagai kejayaan UMNO termasuk akhir-akhir ini di beberapa Pilihan Raya Kecil, UMNO masih ada rasa takut kepada Dr Mahathir?

Adakah masih ada sekelumit rasa gentar kepada PPBM yang lahir dari dendam peribadi Dr Mahathir untuk menjatuhkan Najib?

Masihkan ada ragu-ragu ahli UMNO yang curiga terhadap perjuangan parti di bawah pimpinan Najib?

Bagaimanapun, Najib sendiri secara peribadi berasa amat kecewa, dan mahu semua ahli berkongsi rasa kehampaannya yang sama, atas apa yang sedang terjadi.

Kekecewaan Najib terpancar apabila menyatakan Dr. Mahathir yang dulunya seorang negarawan terbilang, tapi kini sudah berpaling tadah terhadap parti yang pernah diterajuinya selama puluhan tahun.

Najib yang mengaku menyanjung Dr Mahathir satu masa dahulu juga kecewa dengan tindakan Dr Mahathir yang dikatakan tergamak dan terlibat dalam perbuatan keji serta bersubahat dengan pihak DAP, Perhimpunan Haram BERSIH, Parti Amanah Negara, PKR.

Najib turut kecewa kerana Dr Mahathir sanggup bersekongkol dengan musuh-musuh luar negara seperti Soros yang pernah dibenci dan disuruh dibenci sebagai penyangak matawang.

Lumrah seorang manusia, tidak kira pemimpin atau rakyat biasa yang merasakan terpedaya dengan seorang yang pernah dianggap idola, apa yang dikatakan Najib itu merupakan pandangan jujur ahli UMNO kepada Dr Mahathir hari ini.

Betul kata Najib, Dr Mahathir adalah bentuk kemuncak penderhakaan pada UMNO, bangsa dan tanah airnya.

Jadi, apakah masih ada trauma kepada setiap tindak tanduk Dr Mahathir?

Apakah masih ada yang merasakan Dr Mahathir menjadi penghalang kejayaan UMNO atau kata-kata Dr Mahathir berjaya memujuk mereka untuk membenci pemimpin parti?

Jawapannya ada di tangan ahli-ahli UMNO sendiri.

Sila beri keputusan masing-masing pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.