ISTIMEWANYA kali ini menampakkan pihak-pihak yang berminat atau ada kepentingan telah membuat pengumuman awal bagi calon-calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar atau Kuala Kangsar.

Walaupun ini perkara yang jarang berlaku tetapi diketengahkan oleh pihak yang hendak menawan dan bertahan, dalam kes ini kita dapat lihat Barisan nasional (BN) mendahului pengumuman bakal calon dan diikuti oleh PAS kemudian oleh Pakatan Harapan dengan menonjolkan calon dari parti Amanah.

Pastinya, calon BN sebenarnya mudah dikenal pasti dan memang senang untuk dibuat pemilihan, kemudian calon PAS yang nampak agak mudah untuk diketengahkan dan senang juga untuk dipilih tetapi situasi nampak agak berbeza kepada calon Pakatan Harapan kerana beberapa perhitungan yang perlu dibuat.

Niat asal Pakatan Harapan berkecai kerana misi mahu dua PRK ini ditandingi hanya dua penjuru musnah sama sekali. Permohonan kepada PAS tidak diendah kerana parti itu mengaku itu merupakan kerusi tradisi yang menjadi miliknya khususnya kerana persahabatan dengan kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan PKR.

Nampaknya PKR cuba memujuk PAS supaya memberi peluang kemenangan di Selangor terutamanya agar orang melihat bagaimana Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memimpin satu PRK sebagai pengalaman pertama selepas PRK Kajang.

BACA: Proses penamaan calon PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar hari ini

Ancaman parti

Laporan sebuah portal menyebut, ada satu bentuk ancaman akan dikenakan sekiranya tidak ada tiga kesefahaman dari parti berkenaan di Selangor yang memberi risiko ada exco yang akan dipecat.

Pergolakan itu tentu akan mengambil sedikit masa Pakatan Harapan untuk memperbetulkan serta menguatkan jenteranya agar menjadi mantap dan boleh beraksi pada PRK.

Seterusnya pemilihan calon, individu yang bakal bertanding perlu ada latar belakang yang baik sama ada menyandang jawatan tinggi di dalam parti atau mempunyai kelayakan akademik yang membuatkan pengundi sendiri merasa terpegun.

Ada calon yang sudah menjadi wakil rakyat di DUN, jadi apa yang perlu dilakukan adalah meneruskan kesinambungan kepimpinan di kawasan parlimen pula, ada juga yang mempunyai kelayakan tinggi dalam pelajaran, perubatan dan itu modal yang dibawa parti masing-masing untuk PRK.

Selain itu, faktor jantina turut memainkan peranan untuk mempengaruhi kemenangan dan sentuhan tersendiri kepada pengundi di sesuatu kawasan.

Faktor jentera tidak boleh dilupa, seperti contoh jentera Amanah adalah terlalu mentah, muda dan terlampau baharu dalam dunia politik tanahair.

Bagaimanapun, harus diingat, tidak semestinya presiden sesuatu pariti yang bertanding kurang ketokohan, ia akan membawa kepada tidak hebatnya orang bawahan di dalam parti berkenaan.

Sebenarnya ia pentas untuk melihat sebuah parti baharu yang mahu diperkenalkan di Semenanjung dalam satu pertandingan dan sudah diuji pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini. Jadi apabila Amanah menjadi calon Pakatan harapan, ia sebenarnya dilihat medan untuk menguji parti itu terhadap sokongan pengundi sendiri.

Dua PRK ini peluang terbesar Amanah membuktikan memampuan mereka kerana kita mengandaikan PKR dan DAP sedang terlalu sibuk menyiapkan bedah siasat PRN Sarawak mereka.

Elak pertembungan

Ada juga desas-desus yang mengatakan mereka sedang berbincang menyelesaikan sengketa pertembungan enam kerusi di Sarawak dan Amanaah dilihat parti yang boleh diuji di peringkat awal.

Walaupun Amanah juga tewas di PRN Sarawak selain ada yang hilang deposit, ia ujian melihat peluang serta risiko kekalahan Amanah sendiri jika diletakkan di dalam PRK.

Jelas, kekalahan kali pertama Amanah di Sarawak antara faktor yang membuka ruang kemenangan besar kepada BN.

Apa yang boleh dirumuskan tentang hal ini adalah, PRK merupakan medan pengenalan Amanah kepada politik semenanjung dan pertembungan dengan PAS merupakan saingan yang agak sengit dan menarik untuk diperhatikan.

Selain itu, ia akan menyaksikan pertembungan minimun tiga penjuru di kedua-dua PRK, walaupun ada kemungkinan calon bebas di Kuala kangsar, ia tidak mempengaruhi sangat keputusan akhir pengundian kelak.

Pokoknya, di mana gandingan PAS di dalam blok ketiga yang dicanang sebelum ini?

Di mana kedudukan parti Ikatan yang harus menjadi saingan pada PRK kali ini, di mana ceritanya parti-parti serpihan yang sebelum ini difahamkan akan menguatkan parti induk mereka sendiri.

Seperti di Selangor, kekecohan pentadbiran dilihat menjadi cabaran kerajaan negeri untuk menjawab persoalan yang mungkin ditimbulkan media sepanjang musim berkempen.

Di Kuala Kangsar pula, mungkin isu-isu semasa akan dimainkan yang dilihat ulangan cerita Sarawak yang dibawa semula masuk untuk mengelirukan pengundi.

Sekiranya dirumuskan kemenangan besar BN di Sarawak, apa sahaja kekecohan di dua PRK ini hanya ombak kecil yang tidak menjadikan bahtera BN semudah itu karam dengan isu remeh yang sudah lama dijawab dan dijelaskan kepada rakyat.