Tutup

Pertandingan empat penjuru di Permatang Pauh

Pertandingan empat penjuru di Permatang Pauh
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru.
BUKIT MERTAJAM: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Rakyat Malaysia dan seorang calon bebas.

Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya P.044 Permatang Pauh Tuan Jusni Tuan Ismail mengumumkan nama calon bertanding sejurus selepas proses penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi ini.
prk
(Dari kiri) Calon PRM Azman Shah, calon BN Suhaimi Sabudin, calon bebas Salleh Ishak, dan calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. -Foto Astro AWANI

Empat calon berkenaan ialah Suhaimi Sabudin, 44, daripada BN; Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 62 (PKR); calon bebas Salleh Isahak, 53; dan Azman Shah, 50 (Parti Rakyat Malaysia).
Mereka telah menyerahkan borang percalonan masing-masing di pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Calon bebas Salleh Ishak, yang juga merupakan Ahli UMNO Bahagian Alma, terawal tiba pada jam 8.40 pagi tadi. Calon BN Suhaimi Sabudin pula dilihat sampai di pusat penamaan calon pada jam 8.45 pagi, disusuli calon PKR, Wan Azizah yang tiba di pusat penamaan calon pada pukul 8.50 pagi. Calon PRM Azman Shah pula tiba sekitar jam 10.

Sebelum itu, Suhaimi selaku setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh hadir diiringi Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan dan beberapa pimpinan UMNO yang lain telah berarak dari Jalan Tok Elang ke Jalan Berapit ke pusat penamaan calon.

Ia turut disertai Presiden MIC Datuk G Palanivel dan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong.

Sementara itu, Azizah pula diiringi anaknya yang juga Naib Presiden PKR Nurul Izzah serta Nurul Nuha, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali,  Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, dari simpang tiga Jalan Mengkuang hingga Jalan Berapit iaitu kira-kira 800 meter dari pusat percalonan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Permatang Pauh pada 7 Mei, manakala pengundian awal 3 Mei.

Berdasarkan laporan SPR, Parlimen Permatang Pauh mempunyai 71,820 pengundi berdaftar dengan 627 orang pengundi awal.

PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Parlimen ini dianggap sebagai kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila menguasai kerusi itu sejak tahun 1982.

Anwar menduduki kerusi itu pada tahun 1982, 1986, 1990 dan 1995 sebelum dihukum penjara enam tahun pada 1999 setelah didapati bersalah terhadap empat tuduhan rasuah kerana menyalah guna kuasa.

Azizah kemudian menjadi anggota Parlimen di situ pada 1999 hingga 2008 sebelum bertindak mengosongkannya bagi memberi laluan kepada Anwar selepas beliau dibebaskan pada tahun 2004.

PRK Parlimen Permatang Pauh adalah pilihan raya kecil kesepuluh selepas PRU13 yang berlangsung pada 5 Mei 2013.

Lapan PRK sebelum ini ialah PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013); PRK DUN Sungai Limau, Kedah (4 Nov 2013); PRK DUN Kajang, Selangor (23 Mac 2014); PRK DUN Balingian, Sarawak (29 Mac 2014); PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang (25 Mei 2014); PRK Parlimen Teluk Intan, Perak (31 Mei 2014); PRK DUN Pengkalan Kubor, Kelantan (25 Sept 2014) dan PRK DUN Chempaka, Kelantan (22 Mac 2015) serta PRK DUN Rompin yang akan diadakan pada 5 Mei nanti.